Tuesday, July 24, 2012

Ahlan Ya Ramadhan


Ahlan Ya Ramadhan Karim
Moga Ramadhan kali ini lebih bermakna dari sebelumnya
InsyaAllah

Monday, July 16, 2012

Man Ana



Nur Rafezza Binti Fetheri
  • From Kuching, Sarawak, Malaysia.
  • Born on 27 October 1989
Education
  • Sekolah Kebangsaan Pulo Petra Jaya Kuching, Sarawak (1996-2001)
  • Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Matang,Kuching Sarawak (2002-2006)
  • Diploma Pengajian Islam Dan Dakwah, Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) Jakim Cawangan Sarawak, Telaga Air, Kuching. (2007-2010)
  • Akidah and Religion Studies With Honour, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). (2010-2014)  
  • Akidah and Islamic Thought, University of Malaya (UM). (2015-2017) 
  • Email : nurrafezza@gmail.com / rafezzafetheri@gmail.com

Ada Apa Dengan Falsafah ?



Falsafah ? Philosophy ?


Terus saya tersenyum bila mendengarkan perkataan falsafah. Baru kini saya mengerti dan memahami kepentingan falsafah. Bagi saya ia juga sebuah perbincangan yang menarik meskipun terdapat sesetengah pihak mendakwa mempelajari falsafah adalah sia-sia sahaja bahkan ada yang lagi dahsyat mendakwa bahawa mempelajari falsafah juga membawa kepada kesesatan akidah. Hanya kerana falsafah berpaksikan akal fikiran maka terus menghukumkan orang lain adalah sesat. Yang penting jangan sesekali kita menghukumkan orang lain adalah sesat. Namun begitu, para ulama kita begitu berhati-hati dalam meletakkan permasalahan mempelajari falsafah ini sesuai dengan keadaan mereka pada zaman mereka. Tambahan pula, ramai tokoh Ilmuan Islam yang hebat misalnya seperti Ibnu Rushd, Ibn Miskawayh, Ibn Arabi, Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali, Ibn Farabi turut mempelajari ilmu falsafah. Bahkan Al-Kindi sendiri merupakan ahli falsafah Arab yang pertama dalam kalangan ilmuwan Islam. 

Apa itu falsafah ?


Falsafah merupakan perkataan asal dari Greek iaitu Philo (Cinta / Suka) dan Sophia (Hikmah) yang bermaksud cintakan hikmah / kebijaksanaan atau "Love Of Wisdom". Dalam bahasa Inggeris perkataan falsafah disebut Philosophy. Dalam bahasa Arab perkataan falsafah disebut Al-Hikmah seperti yang dinyatakan di dalam Al-Quranul Karim. Penggunaan istilah falsafah pada awalnya digunakan oleh Phytogoras (497-572). Falsafah juga merupakan perbincangan mengenai pencarian hakikat kebenaran menurut ahli-ahli falsafah. 


Falsafah Menurut Pandangan Islam


Islam sendiri menggalakkan dan mendorong umatnya untuk mendapatkan Hikmah. Hadith Rasulullah S.A.W  (Riwayat At-Tirmidzi) menyebutkan tentang Hikmah, 

قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : الحكمة ضالة المؤمن حيثما وجد المؤمن ضالته فليجمعها إليه      
  
Maksudnya : Hikmah merupakan sesuatu yang hilang dari orang Mukmin, kemudian bila dia menjumpainya di mana sahaja maka dia akan mengambilnya. 

Hadith ini menunjukkan bahawa Hikmah itu merupakan hak milik Muslim yang telah hilang. Bukanlah bermakna Hikmah itu adalah sesat. Begitu juga Al-Quranul Karim banyak menceritakan mengenai persoalan Hikmah dalam Al-Quran yang menggalakkan dan menuntut seorang Muslim itu supaya mencintai Hikmah. 

Firman Allah Taala dalam Surah Ali Imran Ayat 164 : 

ôs)s9 £`tB ª!$# n?tã tûüÏZÏB÷sßJø9$# øŒÎ) y]yèt/ öNÍkŽÏù Zwqßu ô`ÏiB ôMÎgÅ¡àÿRr& (#qè=÷Gtƒ öNÍköŽn=tæ ¾ÏmÏG»tƒ#uä öNÍkŽÅe2tãƒur ãNßgßJÏk=yèãƒur |=»tGÅ3ø9$# spyJò6Ïtø:$#ur bÎ)ur (#qçR%x. `ÏB ã@ö6s% Å"s9 9@»n=|Ê AûüÎ7B ÇÊÏÍÈ  


Mengharmonikan Falsafah Dengan Agama

Tidak dinafikan ilmu falsafah ini datangnya dari ketamadunan Greek melalui tokoh-tokoh falsafah seperti Socrates, Plato dan Aristotle. Namun begitu, bukanlah para ilmuwan Islam kita mencedok dan mengguna pakai ilmu falsafah tersebut seratus peratus. Ibn Sina dan Al-Farabi antara ahli falsafah yang berusaha mengharmonikan falsafah dengan agama berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah. Falsafah menuntut kebahagiaan. Islam juga menuntut kebahagiaan pada pengakhiran kehidupan kita di akhirat. Kedua-duanya menuntut kebahagiaan pada pengakhirannya. Antara tujuan lain falsafah adalah menyingkap kebenaran di samping mengharmonikan kebenaran akal dengan kebenaran wahyu. Falsafah berteraskan akal menggalakkan kita untuk berfikir. Begitulah juga dengan Islam, turut menggalakkan umatnya agar berfikir selari dengan Al-Quran dan As-Sunnah. Maka sesuaikanlah kebaikan ilmu falsafah berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah melalui akal fikiran. 

Kesimpulan

Jika kita tidak berpeluang mempelajari falsafah sekalipun, gapailah Hikmah itu walau di mana sahaja kita berada. Bukanlah bererti tidak mempelajari falsafah telah hilang Hikmah yang kita cari. Hikmah juga ilmu. Bagi saya, itulah Hikmah yang semestinya kita usahakan untuk mendapatkannya. Hikmah itu hak milik orang mukmin yang telah hilang. Jadi sanggupkah kita membiarkan Hikmah itu tidak tergapai oleh kita sendiri ? 






  




Islam Liberal


Apakah itu Islam liberal ? Apakah itu liberalisma

Liberalisma bermaksud 'kebebasan berfikir dan bertindak melalui individu tanpa had', dan ia merupakan fahaman yang muncul di Eropah pada asalnya dan bukan dari dunia Islam. Istilah 'Islam Liberal' pertama sekali digunakan oleh penulis Barat seperti 'Leonard Binder' yang menggunakan istilah 'Islamic Liberalism' dan juga 'Charles Kurzman' yang menggunakan istilah 'Liberal Islam'. Secara tersiratnya, kedua-duanya mempercayai bahawa Islam itu banyak dan Islam Liberal adalah salah satu daripadanya. 

Islam sebenarnya adalah satu dan tidak banyak. Secara amnya, Islam itu terdapat aliran 'mazhab' atau kelompok yang berbeza aliran pemikirannya dalam Islam. Jadi istilah 'Islam Liberal' yang dimaksudkan di sini adalah 'Pemikiran Islam Liberal' yang merupakan satu aliran berfikir baru dalam kalangan umat Islam yang tidak termasuk dalam mazhab Islam. 

Jadi, "Pemikiran Islam Liberal" adalah 'suatu pemikiran yang bertujuan untuk membebaskan, merungkai, merombak (deconstruc) dan meliberalkan' umat Islam dari Islam yang satu dan kukuh itu. 

Akar - Akar Pemikiran Islam Liberal

Pemikiran Islam Liberal berpunca daripada pengaruh pandangan hidup Barat dan peradabannya yang 'hegemonic' dan mendominasi seluruh kehidupan pada masa kini. Ia merupakan percampuran antara pemikiran modernism yang cuba memberikan tafsiran Islam yang sesuai dengan 'modernity' dan 'post-modernism' yang cuba melakukan 'deconstruction' terhadap segala pemikiran yang sudah kukuh. 

Takrif Islam yang kukuh misalnya, perlu dirombak dan diliberalkan sehingga orang bukan Islam pun dikatakan bukan Muslim dan agama selain agama Islam pun dapat ditafsirkan sebagai agama Islam juga. Begitu juga dengan Mushaf Al-Quran resam Uthmani yang telah disepakati oleh Sunni mahupun Syiah juga adalah perlu kepada 'deconstruction' yang kononnya adalah untuk mendapatkan wahyu Tuhan yang asal sebelum khalifah Uthman merasmikan mushafnya untuk seluruh kaum Muslimin. 

Pemikiran Islam Liberal juga memanfaatkan dan mendapatkan modal murah dari 'radikalisme' yang terjadi pada sebahagian kaum Muslimin. Dengan ini, ianya sejalan dengan fahaman Barat tentang Islam pada hari ini bahawa ajaran - ajaran Islam itu sebati dengan 'terrorisme' dan penghalang kepada kemajuan dan peradaban sekular mereka. 

Para pemikir Islam Liberal telah dipergunakan oleh pihak Barat bagi merungkai dan merombak 'simpulan-simpulan Islam' yang kukuh dari tubuh umat Islam sendiri yang akhirnya menjadi benteng kepada globalisasi peradaban sekular. Jadi, dalam usaha meruntuhkan ajaran Islam yang kukuh dan teguh itu, pemikiran Islam Liberal tidak segan silu mengambil kajian-kajian orientalis, metodologi kajian agama lain, ajaran "human right" dalam konteks "humanisme Barat", falsafah sekularisme dan lain-lain pandangan yang bercanggah dengan Islam sebagai sumber mereka. 

Bagi menyempurnakan penyamaran mereka terhadap kaum Muslimin awam dan supaya dikatakan pemikiran itu sebahagian dari Islam, pemikiran Islam Liberal juga menggunakan bahan-bahan dari "turath" dan persuratan Islam dengan mengambil bahan-bahan yang kontroversial. Bahan-bahan tersebut adalah "construction" ulama yang perlu kepada "deconstruction" supaya pemikiran umat Islam bertambah maju seiring dengan kemajuan sekularisme Barat. 

Misalnya, seperti nasib-nasib agama-agama di Barat, Islam Liberal hendak menjadikan agama seperti agama Kristian atau fahaman Yahudi di Barat tunduk dengan kehidupan duniawi, dengan cara membebaskan umat Islam yang tulen menerusi tafsiran atau perubahan ajaran Islam itu sendiri sehingga sesuai dengan agenda dan selera Barat. 

Namun begitu, terdapat  juga pihak yang mendakwa liberalisme adalah juga pemodenan dalam Islam dan warisan mazhab silam. Ini adalah tidak bertepatan sama sekali. Buktinya, pemodenan pemikiran Islam yang digerakkan oleh Muhd Abduh, Rashid Rida, Muhammad Iqbal dan lain-lainnya bukan mahu mempersoalkan keautoritian atau kedudukan Al-Quran, Rasulullah S.A.W, Rukun Islam dan Rukun Iman. Mereka hanya inginkan aplikasi Islam dalam tuntutan kehidupan di dunia supaya umat Islam bertambah maju tapi bertolak dari gagasan Islam yang sebenar. 

Demikian juga mazhab Islam terdahulu seperti Jabariah, Qadariah, Khawarij dan sebagainya. Mereka juga mentafsir ayat-ayat Al-Quran dan hadith tetapi tidak mengkritik kedudukan Al-Quran atau kerasulan Nabi Muhammad S.A.W, hukum-hakam dan sebagainya. 

Kesimpulan

Kumpulan Liberalisma ini sangat radikal. Mereka mahu menolak Al-Quran, Syariah, penyamaan Akidah Islam dengan lain-lain agama, menentang keutamaan lelaki ke atas wanita, menolak ketentuan faraid dalam Al-Quran dan lain-lain lagi. Gerakan kumpulan ini wajib dihapuskan. Oleh itu, hendaklah kita juga mengetahui agenda-agenda pemikiran Islam Liberal ini agar kita dapat menolak tafsiran agama yang kian terpesong dalam kalangan masyarakat dan seterusnya memperkukuh dan mempertahankan Akidah kita. Tepuk dada tanya Iman. Moga kita terus berjalan di atas jalan kebenaran menuju ke arah Mardhatillah. Amin. InsyaAllah. 














Padaku Ada KeAZAMan Yang Dahsyat


Padaku Ada KeAZAMan yang dahsyat .. Siapakah yang mengungkapkan kata-kata tersebut ?

Tidak lain tidak bukan .. itulah Sultan Muhammad Al-Fateh atau Sultan Muhammad II.

Siapakah Sultan Muhammad Al-Fateh ?

Al-Fateh ialah putera kepada Sultan Murad II, Baginda dilahirkan di Edirne atau Adrianapolis yang merupakan ibu kota kerajaan Uthmaniyyah pada 29 Mac 1432 bersamaan 26 Rejab 835 Hijriah. Al-Fateh wafat pada 4 Rabiul Awwal 86 H dan tampuk pemerintahan baginda digantikan oleh puteranya Sultan Yazid II.

Pendidikan Al-Fateh

Ayah baginda Sultan Murad II sangat menitikberatkan pendidikan Al-Fateh lebih-lebih lagi apabila Al-Fateh bersikap nakal di usia mudanya. Oleh itu, ayah baginda bertegas dalam mendidik Al-Fateh melalui asuhan para ulama dan ilmuwan untuk membentuk jati diri Al-Fateh. Dua orang mentor Al-Fateh iaitu Ibnu Ismail Al-Qurani dan Syeikh Syamsuddin Al-Wali yang dikatakan keturunan Saidina Abu Bakar as-Siddiq merupakan antara tokoh terpenting memainkan peranan dalam pembentukan keilmuan dan peribadi Al-Fateh sendiri.

Al-Fateh merupakan antara cendekiawan ulung kerana baginda berkebolehan bertutur dan menguasai tujuh bahasa dengan baik iaitu bahasa Arab, Latin, Greek, Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew. Tambahan pula, baginda mempunyai kepakaran dalam bidang sains, sejarah, geografi, matematik dan ketenteraan. Baginda juga diajar kemahiran memanah dan menunggang kuda sejak kecil lagi. Walaupun baru berusia 12 tahun, baginda telah memangku jawatan khalifah sewaktu ayahnya Sultan Murad II memencilkan diri di Pulau Magnesia. Ini bertujuan untuk melatih dan membentuk sifat kepimpinan dalam diri Al-Fateh.

Keperibadian Al-Fateh

Al-Fateh sangat mementingkan kekuatan dalaman dan luaran para tenteranya. Baginda sentiasa bersifat tawadhuk dan merendah diri. Biarpun seorang sultan, baginda tetap turun padang untuk bekerja bersama-sama dengan tenteranya. Misalnya, semasa membina Benteng Rumeli Hissari, baginda segera membuka baju dan serbannya, mengangkat batu-batu besar dan pasir sehinggakan para ulama dan para menteri ikut sama bekerja. Baginda sangat mencintai ilmu dan ulama dan kerap kali berbincang dengan mereka tentang segala permasalahan terutama masalah negara. Al-Fateh seorang yang tenang, berkeyakinan tinggi, berani, sabar, tegas dan kuat menyimpan rahsia pemerintahan. Malah sifat-sifat baginda dan tenteranya telah diisyaratkan oleh Rasulullah S.A.W sendiri dalam hadith.

Rasulullah S.A.W bersabda,

لتفتحن القسطنطينية فلنعم الأمير أميرها ولنعم الجيش ذلك الجيش

"Konstantinople akan dimiliki tentera Islam, rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera"
( Hadith Riwayat Imam Ahmad )

Umat Islam berlumba - lumba membebaskan Constantinople untuk mendapatkan penghormatan yang telah dijanjikan oleh Allah Taala menerusi hadith yang disabdakan oleh baginda Rasulullah S.A.W. Namun, semua kempen tersebut iaitu bermula dari zaman Muawiyah Bin Abi Sufyan sehinggalah Sultan Murad II sendiri, kesemuanya menemui kegagalan. Di antaranya, 5 kempen semasa zaman kerajaan Umaiyah, 1 kempen sewaktu pemerintahan kerajaan Abbasiyyah dan 2 kempen di bawah kerajaan Uthmaniyyah.

Akhirnya, hadith Nabi S.A.W ini direalisasikan oleh Sultan Muhammad Al-Fateh, khalifah ke-7 kerajaan Uthmaniyyah bersama-sama dengan tentera baginda. 1453, Tahun yang mencipta sejarah. Al-Fateh telah menakluki Constantinople atau Istanbul (sekarang). Selanjutnya, Constantinople menjadi ibu kota dinasti Turki Uthmani. Kemudian, Al-Fateh menukarkan nama Constantinople kepada Islambul (Islam Keseluruhan ) dan akhirnya Istanbul oleh Mustafa Kamal Atarturk.

Apakah kehebatan Al-Fateh dan tentera-tenteranya sehingga disebut sebaik-baik raja dan sebaik-baik tentera di dalam hadith Rasulullah S.A.W tersebut ?

Padaku Ada KeAZAMan Yang Dahsyat

Menteri Al-Fateh sendiri, Khalil Pasya tidak yakin dengan kemampuan Al-Fateh untuk mendapatkan Constantinople. Namun, itu tidak melunturkan walau sedikit pun semangat yang ada dalam diri Al-Fateh. Semangat Al-Fateh jelas terzahir melalui ucapan baginda walaupu baru berusia 19 tahun, "Aku bukan seperti datuk-datukku terdahulu. Aku adalah Sultan Muhammad. Padaku Ada Keazaman Yang Dahsyat mengatasi keazaman datuk-datukku terdahulu" 

KeAZAMan Al-Fateh mengatasi segala kekurangan memberikan kekuatan dan semangat dalam dirinya biarpun pelbagai halangan terpaksa ditempuh. Dan ini diakui oleh ahli sejarah Byzantine sendiri, "Tidak pernah kami lihat atau dengar hal seajaib ini, Muhammad Al-Fateh telah menukarkan darat menjadi lautan dan melayarkan kapalnya di puncak gunung bukannya di ombak lautan. Muhammad Al-Fateh dengan usahanya mengatasi Maharaja Dunia Alexander The Great!"

Karisma Seorang Pemimpin

Pengepungan selama 53 hari tanpa sebarang tanda-tanda kejayaan telah menimbulkan rasa bosan dan menghilangkan keyakinan dalam kalangan tentera Al-Fateh. Namun, sifat karisma yang ada pada seorang pemimpin terserlah dalam diri Al-Fateh. Pada saat yang genting tersebut, baginda berucap menaikkan semangat jihad tenteranya. "Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah. Sesiapa yang mahu syahid, maka ikutlah aku!"

Apabila mendengarkan ucapan Al-Fateh, tiba-tiba Hasan Ulubate berteriak dengan nada suara yang penuh bersemangat dan nyaring,"Sesiapa yang mahu bertemu dengan Abu Ayub al-Ansari dan mereka yang telah syahid mari berjuang bersama-sama saya." Mendengarkan teriakan itu, membuatkan tentera Al-Fateh menjadi begitu bersemangat dan bersama-sama dengan Hasan Ulubate merempuh pintu masuk istana. Kedatangan mereka dihalang oleh beribu-ribu tentera Rom namun Hasan berjaya meloloskan diri sehingga ke atas menara Constantinople lalu segera memacakkan bendera Turki di atasnya sambil berteriak,"Saya telah berjaya menjejakkan kaki ke Kota Constantinople dan selepas ini giliran kamu pula!" Serentak, puluhan anak panah menembusi badan Hasan Ulubate. "Constantinople pasti berjaya kita tawan pada hari ini!" Teriak Hasan Ulubate sebelum meninggal dunia. Keberanian Hasan Ulubate telah menyemarakkan semangat tentera Al-Fateh.


Kota Constantinople Berjaya Ditawan

Allah Taala berfirman menerusi Surah Al-Fath Ayat 1 - 3,  

"Sesungguhnya kami memberikan kepadamu kemenangan yang nyata, supaya Allah memberi keampunan kepadamu terhadap dosamu yang lalu dan akan datang serta menyempurnakan nikmat-Nya atasmu dan memimpin kamu kepada jalan yang lurus dan supaya Allah menolongmu dengan pertolongan yang kuat (banyak).

Akhirnya, setelah 800 tahun penantian ..
Tanggal 29 Mei 1453 bersamaan 20 Jamadil Awwal 857 Hijriah menyaksikan kemenangan umat Islam apabila Al-Fateh telah berjaya membebaskan Kota Constantinople daripada cengkaman Empayar Rom Byzantine. Sesuai dengan pembukaan Constantinople, maka baginda dikurniakan gelaran Al-Fateh kerana kejayaan baginda menakluk dan seterusnya membebaskan Constantinople daripada cengkaman kerajaan Rom Byzantine.

Al-Fateh berdiri di hadapan pihak tawanan sambil berkata, "Hari ini adalah hari kemenangan kepada kami, umat Nabi Muhammad S.A.W. Kamu sudah menjadi hina dengan kekalahan ini. Sesungguhnya apabila datang yang hak maka lenyaplah yang batil. Apabila datang kebenaran, lenyaplah kemungkaran. Apabila datang keadilan, lenyaplah kezaliman. Sesungguhnya kami datang kepada kamu membawa yang hak. Kami membawa cahaya kebenaran dan kami menegakkan keadilan. Percayalah, tiada siapa yang akan dianiayai pada hari yang mulia ini."


Gereja Kepada Masjid

"Gereja Aya Sophia. Kami mahu menjadikannya sebagai masjid, " kata Al-Fateh sambil memandang reaksi pihak tawanan Constantinople. Seperti yang dijangka, para tawanan perang seperti histeria apabila mendengar Aya Sophia mahu dijadikan masjid. Namun, kebijaksanaan Al-Fateh mengatasi keadaan tersebut dengan penuh berhemah dan diplomasi. Baginda memaafkan kesemua tawanan perang dan mereka bebas untuk balik ke rumah masing-masing serta berpesan agar mereka kekal berkelakuan baik, tidak menganiaya penduduk Istabul. Bahkan mereka juga bebas menganut dan mengamalkan agama masing-masing serta dibenarkan untuk bebas beribadat di gereja-gereja mereka. Akhirnya, pihak tawanan mengalah dan bersetuju dengan tindakan Al-Fateh.

"Mari kita bersihkan gereja Aya Sophia kerana ia bakal dijadikan masjid," Al-Fateh bertitah lagi. Kemudian, mereka bergotong -royong membersihkan gereja Aya Sophia. Semua patung dan lambang salib di dalam gereja diturunkan. Menjelang tengah hari, Aya Sophia bertukar dari sebuah gereja kepada sebuah masjid. Ramai yang memuji tindakan Al-Fateh yang telah mengubah gereja tersebut kepada sebuah masjid. Namun, di manakah kiblat nya ?

Kiblat Masjid Aya Sophia

"Tuanku, ramai yang hendak solat sunat di masjid ini, tetapi kami tidak tahu di manakah arah kiblatnya," ujar Menteri Khalil Pasya. Al-Fateh tercari- cari di manakah arah kiblat masjid tersebut. Segera baginda bertanya kepada mentornya, Syeikh Shamsuddin al-Wali. "Mohonlah petunjuk dari Allah." ujar mentornya.

Al-Fateh segera berwudhu' dan menempatkan dirinya di tengah masjid. Baginda bertakbir dan pada takbir pertama tersebut baginda ternampak arah kiblat melalui mata hatinya. Terus baginda mengangkat takbir kali kedua dan arah kiblat itu mulai semakin jelas. Akhirnya, baginda bertakbir kali ketiga dan arah kiblat benar-benar diperlihatkan secara jelas kepada dirinya. Kemudian, Al-Fateh terus menunaikan solat dengan menghadap ke arah kiblat yang sebenar. Maka orang ramai mengikut jejak langkah baginda menghadap ke arah kiblat yang sama.


Sebaik - Baik Raja Dan Sebaik - Baik Tentera

Sewaktu solat Jumaat pertama hendak didirikan, akhirnya terzahir pertanyaan siapakah yang paling layak menjadi imam. Al-Fateh mencadangkan mentornya, Syeikh Syamsuddin al-Wali namun beliau menolak dengan alasan beliau sudah tua. Kemudian, Syeikh Syamsuddin al-Wali berkata,"Carilah orang yang paling bertaqwa dalam kalangan kamu untuk dijadikan imam."

Segera, Al-Fateh keluar ke kawasan lapang dan mengarahkan semua tenteranya supaya berdiri. "Siapakah antara kalian yang pernah meninggalkan solat fardhu lima waktu, sila duduk!" Tiada seorang pun yang duduk menandakan semua tentera Al-Fateh tidak pernah meninggalkan solat fardhu lima waktu.

Kemudian, Al-Fateh berkata, "Siapakah antara kalian yang pernah meninggalkan solat sunat rawatib, sila duduk!" Separuh daripada tentera Al-Fateh duduk. Kemudian, Al-Fateh berseru lagi, "Siapakah antara kalian yang pernah meninggalkan solat sunat tahajjud, sila duduk!" Kesemua tentera Al-Fateh yang berdiri segera duduk kecuali seorang sahaja yang kekal berdiri.

Maka, yang berdiri tersebut adalah Sultan Muhammad Al-Fateh sendiri. Semenjak dari akil baligh, baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu lima waktu, solat sunat rawatib dan solat tahajjud. Kemudian, Syeikh Syamsuddin al-Wali berkata, "Tuanku paling layak menjadi imam."

Kesimpulan

Sungguh pun dalam usia yang begitu muda, Sultan Muhammad Al-Fateh telah berjaya menakluk kota Constantinople sekaligus merealisasikan hadith Rasulullah S.A.W. Sebagai seorang sultan, baginda melengkapkan diri dan para tenteranya dengan kekuatan luaran dan dalaman sebelum menempuh peperangan. Itulah dikatakan kekuatan ilmu pengetahuan dan akal. Tidak lupa, kekuatan dalaman rohani juga turut dititikberatkan. Melalui kehidupan Al-Fateh, kita dapat melihat bagaimana peranan mentor iaitu guru baginda Syeikh Syamsuddin al-Wali dan Ibnu Ismail Al-Qurani turut memainkan peranan penting dalam pembentukan peribadi dan keilmuan Al-Fateh. Betapa Al-Fateh cintakan ilmu dan ulama. Jika remaja sekarang sibuk berfoya-foya, berpeleseran tanpa arah tuju sedangkan Al-Fateh setiap malam bermatlamatkan Constantinople. Itulah semangat yang tersemat dalam diri Al-Fateh, "Padaku Ada KeAZAMan Yang Dahsyat".