Monday, December 31, 2012

Salaf Dan Khalaf : Siapakah Mereka ?

Salaf Vs Khalaf ??? 

Kebetulan seorang rakan memohon penjelasan lanjut mengenai golongan Salaf dan Khalaf ini. Maka, ingin saya kongsikan di sini untuk merungkaikan kekeliruan dan menambah baik pemahaman kita terhadap siapakah golongan Salaf  dan Khalaf  ini. Pemahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah berdasarkan kepada syariah dan sejarah. Terdapat dua generasi yang sangat popular dalam sejarah perkembangan Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu golongan pertama dikenali sebagai ahli Salaf  dan golongan kedua pula merupakan ahli Khalaf. 

Pengertian Salaf
Dari segi bahasa (etimologi), bermaksud apa yang telah berlalu dan mendahului. Salaf juga bermaksud sekumpulan pendahulu atau suatu kaum yang mendahului dalam perjalanan.Allah Taala berfirman dalam Surah Az-Zukhruff : 55-56, "Maka tatkala mereka membuat Kami murka, Kami menghukum mereka lalu Kami tenggelamkan mereka semuanya di laut, dan Kami jadikan mereka sebagai contoh dan pelajaran bagi orang-orang yang terkemudian."

Perkataan ahli Salaf  dari sudut metodologi ( manhaj ) bererti generasi awal Islam yang hidup dalam lingkungan 300 tahun pertama Hijriyah. Ahli Salaf merupakan antara generasi terawal dan utama dalam kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang terdiri daripada Rasulullah S.A.W dan para sahabat, para tabi'in dan tabi' tabi'in yang mewarisi pegangan, fahaman dan penghayatan Islam yang unggul dan benar. Ini adalah berdasarkan apa yang telah digariskan oleh Rasulullah S.A.W dalam bidang akidah. Oleh kerana itu, generasi di awal Islam juga dinamakan Salafus Soleh. Sesetengah definisi Salaf  ialah generasi Islam yang hidup dalam lingkungan 500 pertama Hijriyah. Mereka juga dikenali dengan generasi ahli Madinah di mana kehidupan mereka berpaksikan kehidupan generasi para sahabat di Madinah.

Dari perspektif metodologi, pengertian Salaf  tidak berbeza dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Sebenarnya, istilah Salaf mula diketengahkan oleh seorang tokoh Islam terkemuka iaitu Syeikh Islam Ibnu Taimiyyah (w.728H). Maka, ahli Salaf  dikaitkan secara sebati dengan nama Ahli Sunnah Wal Jamaah. Ibnu Khaldun sendiri menggunakan istilah ahli Salaf  yang merujuk kepada Ahli Sunnah dalam Kitab Muqaddimah karangan beliau. 

Perlu diingatkan, tidak semua Muslim yang berada pada zaman awal Islam atau zaman Sahabat dan Tabi'in yang dapat dikategorikan sebagai ahli Salaf. Misalnya terdapat beberapa tokoh dan pengasas mazhab atau aliran dalam Ilmu Kalam / Ilmu Aqidah seperti Abu Huzaifah Wasil Bin Atha' (w.131H) iaitu pengasas Muktazilah, Ma'bad Bin Abdullah al-Juhani (w.80 H) pengasas aliran ikhtiar yang mutlak iaitu Qadariah, dan Jahm Bin Safwan (w.129 H) yang mengasaskan aliran Jabariah. Mereka tidak dikategorikan sebagai ahli Salaf  kerana pendekatan mereka dalam bidang Akidah sangat berbeza dengan pendekatan Akidah ahli Salaf  yang terdiri daripada para sahabat, para tabi'in dan tabi' tabi'in pada zaman tersebut.

Manhaj Salaf
Ahli Salaf  tidak mengambil pendekatan lain dalam memahami dan menangani isu Akidah. Mereka berpegang teguh dengan nusus Al-Quran dan As-Sunnah. Bahkan segala permasalahan yang berlaku dirujuk terus kepada Rasulullah S.A.W sendiri, para sahabat, para tabi'in dan tab' tabi'in. .

Ahli Salaf  dari perspektif metodologi tidak berakhir pada generasi pertama Islam. Malahan ia berterusan dan diperjuangkan oleh golongan ulama Imam Empat Mazhab iaitu Imam Malik, Imam Hanafi, Imam Ahmad Bin Hanbal dan Imam Syafie. Selepas itu lahir pelbagai teori mengenai Akidah, lahir fahaman yang bukan sahaja berhujah dengan logik akal tetapi falsafah. Maka lahir pula dalam masyarakat Islam orang-orang yang mahu supaya kembali kepada sumber asal. Mereka muncul pada kurun ke -7 H iaitu Ibnu Taimiyyah dan Ibny Qayyim al-Jawziyyah (w751H) yang merupakan murid beliau. Sebenarnya, mereka adalah daripada aliran Imam Ahmad Bin Hanbal dan teori itu dihidupkan semula. Maka, bermulalah diketengahkan Salafiyyah (Ibnu Taimiyyah). Golongan Salafiyyah menentang keras golongan yang menghurai ayat-ayat Mutasyabihat.

Pengertian Khalaf 
Ahli Khalaf merupakan gerakan ulama yang menghidupkan dan meneruskan tradisi salaf, menolak bid'ah dan khurafat supaya kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Perkembangan zaman terutama dalam pemikiran dan kebudayaan asing telah mula menyelinap masuk ke dalam pemikiran dan kebudayaan umat Islam. Kehadiran golongan Khalaf juga bertujuan untuk menangani permasalahan dalam mentafsirkan sumber agama Islam daripada sebarang penyelewengan dan membersihkan Akidah Islam daripada pemikiran falsafah, ketuhanan Yunani, Batiniah, Tasawuf Falsafi dan kebudayaan lama Parsi daripada terus bertapak dalam masyarakat Islam. 

Manhaj Khalaf 
Dalam memahami isu-isu Akidah, ahli Khalaf berpegang dengan sumber Al-Quran dan As-Sunnah serta menggunakan pendekatan akal dan logik. Biarpun memperkenalkan konsep takwil dalam mentafsirkan nusus atau ayat 'Mutasyabihat', mereka tidak terkeluar daripada wahyu Ilahi kerana mereka tidak mengangkat martabat akal melebihi agama jika dibandingkan dengan aliran pemikiran Muktazilah yang mendahulukan akal daripada nusus agama.

Imam Ghazali adalah di antara tokoh utama yang mempelopori pendekatan Khalaf berdasarkan keadaan dan cabaran yang dihadapi oleh beliau pada zamannya, maka beliau melakukan beberapa perubahan. Pada zaman beliau, pengaruh falsafah ketuhanan Yunani sangat kuat sehingga menarik al-Farabi dan Ibnu Sina dalam perbincangan ini. Maka, untuk menghadapi keadaan ini beliau berpegang dengan nusus Al-Quran dan As-Sunnah serta menggunakan pendekatan logik dan akal. Misalnya, buku beliau Maqasid al-Falasifah dan Tahafut al-Falasifah yang mengkritik Falsafah Ketuhanan Yunani yang telah mengugat kestabilan Akidah umat Islam pada masa tersebut. Pendekatan Khalaf kemudiannya diteruskan oleh tokoh-tokoh lain seperti al-Shahrastani (w548H), Ahmad al-Iji (w775H), Imam al-Taftazani (791H) dan Muhammad Abduh.

Fahaman Asya'irah dan Maturidiah juga merupakan golongan Khalaf yang menjadikan ilmu logik menggunakan akal sebagai sebahagian daripada perbincangan Akidah. Ini kerana, mereka berhadapan dengan golongan-golongan seperti Muktazilah, Jabariah dan sebagainya pada zaman mereka yang telah menggugat kestabilan Akidah umat Islam pada ketika itu. Ini memerlukan kepada hujah logik dan falsafah. Namun, mereka tetap mendahulukan Al-Quran dan As-Sunnah di samping menggunakan pendekatan logik akal.

Salaf, Khalaf dan Salafiah 
Manhaj Salaf dinamakan Isbat wa Tafwidh (iaitu menyerahkan ayat-ayat Mutasyabihat itu tetapi menyerahkan maknyanya kepada Allah), manhaj Khalaf dinisbahkan kepada Isbat wa Takwil (iaitu menerima ayat-ayat mutasyabihat itu dengan mentakwil (mentafsirkan) maknanya), dan manhaj Ibnu Taimiyyah (Salafiyah) pula dinisbahkan Isbat wa Tanzih (iaitu menerima ayat-ayat Mutasyabihat tadi dengan zahirnya tetapi dengan mentanzihkan Allah (menyucikan Allah) dari penyerupaan dengan makhluk.


Perbezaan Salaf Dan Khalaf 
Jika diteliti, perbezaan antara ahli Salaf dan Khalaf adalah menerusi ayat 'Mutasyabihat' yang terdapat di dalam Al-Quran. Ayat 'Mutasyabihat' ini mengandungi sifat-sifat Allah yang pada zahirnya mempunyai persamaan dengan sifat-sifat makhluk. Firman Allah Taala dalam Surah Ali-Imran ayat 7, 

"Dialah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab suci Al-Quran. Sebahagian besar daripada Al-Quran itu ialah ayat-ayat 'Muhkamat' (ayat yang tetap, tegas dan nyata serta jelas maksudnya), ayat-ayat 'Muhkamat' itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Quran, dan yang lain-lain lagi ialah ayat-ayat 'Mutasyabihat'  (ayat yang samar, kurang jelas atau hanya Allah mengetahui maksudnya). Adapun orang-orang yang dalam hatinya cenderung kepada kesesatan, mereka mengikuti yang 'Mutasyabihat' untuk mencari-cari fitnah dan untuk mencari-cari takwilnya, padahal tidak ada yang mengetahui takwilnya kecuali Allah. Dan orang-orang yang ilmunya mendalam berkata,"Kami beriman kepadanya ( Al-Quran ), semuanya dari sisi Tuhan kami." Tidak ada yang dapat mengambil pelajaran kecuali orang yang berakal. 

Kedua-dua ahli Salaf dan Khalaf ini beriman dengan kebenaran ayat 'Mutasyabihat'. Bahkan mereka juga mentanzihkan Allah Taala daripada sebarang persamaan dan penyerupaan dengan makhluk. Namun begitu, perbezaan yang tercetus ialah dari segi memahami maksud ayat 'Mutasyabihat'. 

Misalnya, Surah Thoha, ayat 5 :

الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى

Menurut ayat tersebut, Allah (istiwa') bersemayam di atas Arasy. Bahkan di dalam Al-Quran terdapat ayat yang serupa dalam surah-surah lain seperti al-A'raf (ayat 54), Yunus (ayat 3), ar-Ra'du (ayat 2), al-Furqan (ayat 59), as-Sajdah (ayat 4) dan al-Hadid (ayat 44). Ayat tersebut termasuk dalam ayat-ayat 'Mutasyabihat' yang dapat kita fahami lafaz zahirnya seolah-olah menggambarkan wajah Allah, tangan Allah, mata Allah yang menyerupai makhluk. 

Golongan Salaf berpendapat bahawa yang berhak dan tahu mentakwil atau mentafsirkan ayat-ayat 'Mutasyabihat' ialah Allah Taala sahaja. Ini bermakna mereka mentafwidkan atau menyerahkan kepada Allah Taala hakikat sebenar yang dikehendaki oleh ayat-ayat tersebut tanpa melakukan sebarang takwil. 

Menurut ahli Salaf, istiwa' Allah diyakini tanpa perlu ditafsirkan maknanya. Makna sebenar istiwa' tidak perlulah kita tercari-cari dan tertanya-tanya serta dipertikaikan kerana tidak pernah dilakukan oleh Nabi S.A.W dan para sahabat. Imam Malik apabila ditanya tentang ayat tersebut, beliau menjawab, "Tentang istiwa' Allah telah diketahui kerana Allah sendiri menceritakannya. Namun, bagaimana Allah beristiwa' adalah majhul (tidak diketahui) kerana Allah tidak menceritakannya secara terperinci. Sesiapa yang bertanya tentangnya, menyibukkan diri menyelidikinya maka dia melakukan bid'ah kerana tidak pernah dilakukan oleh Nabi S.A.W dan para sahabat." Jawapan Imam Malik ini telah memberi gambaran kepada kita mengenai pandangan ahli Salaf terhadap perkara ini secara jelas. 

Menurut Ibnu Kathir dalam tafsir beliau, "ahli Salaf menerima ayat Mutasyabihat sebagaimana ia datang (yakin dengan membacanya sahaja) tanpa takyif (menggambarkan bagaimana Allah beristiwa'), tanpa tamsil (menyerupakan Allah dengan makhluk), tanpa ta'til (menolak ayat atau menolak sifat Allah yang dinyatakan dalam ayat). Namun, makna zahir ayat seperti mana yang tercetus di dalam pemikiran golongan Musyabbihin (golongan yang menyamakan Allah dengan makhluk) hendaklah dinafikan makna tersebut kerana Allah Taala tidak menyerupai mana-mana makhluk. ( Tafsir Ibnu Kathir, Surah al-A'raf ayat 54 ) 

Golongan Khalaf pula mentakwilkan pengertian ayat 'Mutasyabihat' dengan pengertian yang sesuai dengan Allah Taala dan dapat difahami oleh akal. Maka pendekatan yang dikemukakan oleh Khalaf bertujuan menjamin kefahaman umat Islam supaya mantap dan subur daripada sebarang penyelewengan. Menurut ahli Khalaf, makna zahir istiwa' ialah istaqarra dan a'la iaitu menetap di atas sesuatu atau meninggi di atas sesuatu. Makna ini jika menurut Khalaf seolah-olah Allah itu bertempat dan berarah seperti makhluk. Maka, hendaklah digunakan makna majaz yang menunjukkan perumpamaan atau makna yang tersirat iaitu malika yang bermaksud menguasai, memiliki yakni Allah Ar-Rahman memiliki dan menguasai Arasy-Nya dan bukanlah Allah itu bertempat atau berarah.

Kesimpulan 
Kedua-dua manhaj Salaf dan Khalaf dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah sama. Bahkan kedua-dua pendekatan Salaf dan Khalaf  adalah sesuai menjadi pegangan menurut keadaan dan tingkat kefahaman umat Islam sendiri. Pada dasar lain, Salaf, Salafiah dan Khalaf masing menerima dan mengimani ayat-ayat Mutasyahibat cuma manhaj mereka berbeza. Kita mengambil pandangan Dr Muhammad al-Buty (1397 H) dalam kitabnya Kubra al-Yakiniyat al-Kauniyah bahawa manhaj Salaf adalah terbaik pada masanya, lebih selamat dan selari dengan iman semula jadi yang berpaksi di minda serta hati. Manhaj Khalaf pula adalah suatu yang kita tidak boleh lari daripadanya dalam menghadapi cabaran aliran pemikiran yang berbeza serta wacana ilmiah yang bersesuaian dengan perkembangan dunia yang pelbagai ragam dan kaedah. 

Wallahu'alam. 

Sumber Rujukan 
1. Ahli Sunnah Waljamaah Pemahaman Semula, Abdul Shukor Haji Husin, 30-37. 
2. Fahaman dan Ideologi Umat Islam, Abdul Hadi Awang, 14-15, 25-26
3. Al-I'tiqad wa al-Hidayah Ila Sabil ar-Rasyad, Imam al-Baihaqi, 120
4. Syarh al-'Aqidah al-Wasitiyyah, Syeikh Muhammad Bin Soleh al-'Utsaimin, 335. 






Sunday, December 30, 2012

Ilmu Perbandingan Agama : Satu Pengenalan


Pengertian Ilmu Perbandingan Agama

Agama ( الدين ) bermaksud suatu pegangan atau kepercayaan yang diyakini dalam jiwa seseorang sebagai pengabdian diri kepada pencipta. Dalam Kamus Dewan, agama bermaksud kepercayaan kepada Tuhan dan sifat-sifatNya serta kekuasaanNya.

Maka, dapat kita fahami ilmu perbandingan agama merupakan suatu ilmu yang menerangkan atau membincangkan tentang pegangan atau fahaman agama atau idealogi seseorang atau sesuatu bangsa atau kaum  di sepanjang kehidupan mereka di muka bumi ini.

Dalam bahasa 'Arab ianya dikenali dengan panggilan nama al-Milal wa al-Nihal ( الملل والنحل ) atau pun maqarinatul al-adyan ( مقارنة الأديان ) yang menerangkan perbezaan yang terdapat pada ajaran agama Samawi ( دين السموي )iaitu agama yang diturunkan oleh Allah Taala seperti agama Islam, Kristian dan Yahudi dengan agama Wadha'ie / thabi'e ( دين الوضعي / دين الطبعي  )iaitu agama buatan manusia seperti Hindu, Buddha dan sebagainya.

الملل merupakan kata jama' yang diambil dari kata dasar ملة ( millah ) yang bermaksud agama. Manakala النحل  kata jama' yang diambil dari kata dasar نحلة ( nihlah ) yang bermaksud jalan agama atau dakwaan atau idealogi.

Allah Taala berfirman dalam Surah Al-Haj, 78 :
"Berjuanglah kamu pada ( agama ) Allah dengan sebenar-benar perjuangan. Dia telah memilih kamu dan tiada mengadakan kesempitan bagimu dalam agama, seperti agama bapamu Ibrahim"

Firman Allah Taala lagi dalam Surah Al-Nahl, 123 :
"Kemudian Kami wahyukan kepada engkau ( wahai Muhammad ) iaitu, Ikutlah agama Ibrahim yang lurus, Bukanlah dia termasuk orang-orang yang musyrik."

Imam al-Shahrastani ( Muhammad Bin Abduk Karim Bin Ahmad ) dalam kitabnya al-Milal wa al-Nihal menerangkan manusi terbahagi kepada dua golongan iaitu yang mengikut agama yang mutlak seperti orang Majusi, Yahudi, Kristian dan Islam. Dan yang mengikut hawa nafsu dan pandangan akal semata-mata seperti penyembah bintang-bintang dan berhala, ahli falsafah, al-Dahri, Sobi'ah serta kumpulan Brahma.

Titik Permulaan Sebuah Disiplin Ilmu

Di Barat, ilmu perbandingan agama ini mula muncul pada awal 1900 yang diperkenalkan oleh pelopornya iaitu Friedrich Max Muller ( 1823-1900 ), yang merupakan seorang ahli filologi bangsa Jerman melalui bukunya bertajuk Comparative Mythology (1856). Seterusnya memperkenalkan istilah religionswissenschaft yanhg bermaksud ilmu mempelajari agama ( science of religion ). Namun begitu, dalam kalangan Negara-negara Islam, ilmu perbandingan agama kurang mendapat perhatian mungkin disebabkan keperluannya kurang mendesak berbanding dengan disiplin ilmu yang lain seperti shari'ah, 'ulum al-quran, 'ulum al-hadith, tafsir, fiqh dan sebagainya.

Di Indonesia, ilmu perbandingan agama mula diperkenalkan di Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Sunan Kalijaga di Yogyakarta pada tahun 1960 dengan dipelopori oleh Prof Dr. H.A. Mukhti Ali. Tambahan pula, institusi pengajian tinggi bukan Islam (Kristian) turut memperkenalkan kursus perbandingan agama kepada para mahasiswa namun menggunakan nama yang berbeza. Contoh, Sekolah Tinggi Duta Wacana Yogyakarta yang telah menwarkan kuliah, 'Agama-Agama'. Seminari Kentungan Yogyakarta pula menawarkan kuliah 'Fenomena Agama' dan Universitas Kristen Immanuel pula menawarkan kuliah 'erbandingan Agama.'

Di Malaysia, ilmu perbandingan agama masih terlalu muda jika dibandingkan dengan negara Indonesia. Penubuhan Universiti Malaya (UM) pada pertengahan 1960an dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
pada awal 1970an juga tidak menawarkan kursus perbandingan agama walaupun mempunyai fakulti pengajian Islam. Seterusnya, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) mula mengorak langkah dengan memperkenalkan kursus perbandingan agama selepas tahun 1983 setelah beberapa tahun penubuhan UIA. Kemudian, dikembangkan oleh Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) di mana dikatakan pada tahun 1990an akhirnya ilmu perbandingan agama ini mula dikembangkan di UKM, UM. Kini, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) juga telah mula mengorak langkah dengan memperkenalkan kursus perbandingan agama sekaligus menubuhkan program Pengajian Akidah dan Agama semenjak tahun 2009.

Ilmuwan Islam Mendahului Barat

Amat menyedihkan sekiranya umat Islam menyimpan perasaan curiga terhadap ilmu perbandingan agama disebabkan salah faham terhadap keadaan sebenar sejarah pertumbuhannya. Ramai yang menganggap ilmu perbandingan agama merupakan hak milik Kristian Barat yang bertujuan untuk penyebaran agama tersebut. Namun, pendapat ini tidak tepat sama sekali.

Sejarah kerasulan Nabi Muhammad S.A.W membuktikan Islam sebagai agama yang berhadapan dengan tamadun sebelumnya seperti Hindu, Yahudi, Buddha, Kristian dan lainnya. Rasulullah S.A.W semasa hayat baginda pernah berinteraksi dengan orang bukan Islam seperti Kristian, Yahudi, Majusi sewaktu menjalankan usaha dakwah. Islam merupakan agama yang memberi manfaat kepada seluruh umat ( rahmatan lil 'alamin ) yang menyeru manusia ke arah kebenaran. Sebenarnya, telah ramai ilmuwan dan ulama Islam yang menghasilkan penulisan yang membahaskan tentang agama-agama lain seawal abad ke 10 Masihi.

Antaranya, al-Jahiz ( Fi al-Radd 'Ala al-Nasara ), al-Nawbakhti ( al-Ara' wal Diyanat ), Abu al-Hasan al-'Ash'ari ( Maqalat al-Islamiyyin ), al-Mas'udi ( al-adyan ), al-Musbihi ( Dark al-Bughyah Fi Wasf al-Adyan Wal 'Ibadah ), al-Baghdadi ( al-Farq Bayna al-Firq ), Abu Raihan al-Biruni ( Tahqiq Ma Lil-Hind Min Maqulah Ma'qulah Fi al-'Aql Am Mardhulah ), Ibnu Hazm ( al-Fasl Fi al-Milal Wa Ahwa Wa al-Nihal ), Abu Muzaffar al-Isfarayni ( al-Tabshir Fi al-Din Wa Tamyiz al-Firqah al-Najiyah 'Ani 'I-Firaq al-Halikan ), al-Shahrastani ( al-Milal Wa al-Nihal ), Ibnu Taimiyyah ( al-Jawab al-Sahih Li Man Baddala Din al-Masih ) dan Abu Hamid al-Ghazali ( al-Radd al-Jamil Li Ilahiyyah 'Isa bi Sarih al-Injil ).

Kepentingan Ilmu Perbandingan Agama

Antara kepentingan ilmu perbandingan agama secara tidak langsung akan memperkenalkan kita terhadap agama-agama lain yang selain daripada Islam melalui pendedahan terhadap ajaran-ajaran tersebut. Sebelum kita menilai dan mengetahui tentang agama-agama lain, seharusnya kita memahami terlebih dahulu bentuk ajaran dan kepercayaan sesebuah agama. Maka, kefahaman inilah yang dapat menimbulkan perasaan hormat serta berbaik sangka. "Before we know others, we must understand them first"

Selain itu, kita juga akan dapat mengenali dan memahami asas ilmu yang berkaitan dengan kepercayaan agama yang dianuti oleh orang ramai selain dari Islam yang selaras dengan naluri dan fitrah manusia yang berkehendakkan kepada pencipta. "It is how we understand the people's desire and the religion's nature."

Tambahan pula, melalui pembelajaran tentang perbandingan agama, ia akan dapat membentuk dan melahirkan kepercayaan mutlak dalam diri seseorang tanpa sebarang syak wasangka terhadap kebesaran Islam sendiri. Di samping mengukuhkan keimanan dan ketaqwaan seseorang, maka asas ilmu yang kuat juga dapat mengelakkan kita daripada mudah berubah kepercayaan terhadap agama lain. Another word, "to strengthen our belief and faith".

Melalui ilmu perbandingan agama juga, ia mampu membentuk sikap toleransi dan saling menghargai perbezaan di antara agama. Ini terzahir melalui respon kita terhadap persamaan dan perbezaan yang terdapat dalam kalangan agama yang berbeza. Apa yang ingin ditonjolkan di sini ialah sikap kita sebagai Muslim dalam menghadapi keadaan ini. Misalnya, persoalan semua agama adalah sama ? Bagaimana untuk menjawab persoalan ini ? Toleransi ? Ya, sudah tentu ! Tetapi sebagai Muslim, kita hendaklah sentiasa menyedari bahawa Islam tidak menafikan kewujudan agama-agama lain, TETAPI Islam tidak mengakui kebenaran agama-agama lain selain Islam.

Apa yang penting, kita juga berkemampuan untuk mempertahankan Islam daripada sebarang ancaman anasir-anasir luar dan jahat yang mahu merosakkan Islam itu sendiri. Jika kita lihat sekarang, kita sebenarnya masih kekurangan pakar dalam bidang perbandingan agama ini. Bahkan ilmu perbandingan agama diperlukan bagi membolehkan seseorang yang ingin terlibat dalam dialog agama atau pun forum agama. Misalnya, pakar seperti Almarhum Ahmad Deedat dan Dr Zakir Naik amat diperlukan kerana tidak ramai yang berada di dalam lapangan disiplin ilmu perbandingan agama ini. "We are the Muslim whose responsible towards our religion, Islam. So, let's us together defense and protect Islam".

"Experience is the most valuable thing". Pengalaman !Itu antara guru terbaik dengan memperkayakan pengalaman dalam kehidupan melalui pengalaman beragama orang lain. Ini amat berguna sekali kepada golongan pendakwah khususnya untuk membolehkan mereka berinteraksi dan berkomunikasi secara tepat dengan golongan sasaran yang terdiri daripada kalangan bukan Islam.  

Kesimpulan

Melalui pemerhatian saya sendiri, mempelajari ilmu perbandingan agama ini memberikan bonus kepada kita sebenarnya. Ilmu yang membawa kita berusaha untuk membentuk dan memupuk nilai-nilai positif dalam diri terutama bagaimana kita sebagai Muslim bersikap sewajarnya apabila berhadapan dengan agama-agama lain. Jelas timbul kekeliruan pada awalnya tentang motif pembelajaran perbandingan agama namun sebenarnya ia telah lama dipelopori oleh para ulama dan ilmuwan Islam mendahului cendekiawan Barat. Maka, dalam konteks ini juga pentingnya pembelajaran perbandingan agama ini yang menunjukkan sikap keterbukaan Islam yang berinteraksi dengan kelompok berlainan agama. Seharusnya, kita menyambung legasi keilmuan para ulama dan ilmuwan Islam agar faedahnya mampu untuk kita kecapi.



Thursday, December 20, 2012

Transformasi HIJRAH Diri


Pengertian Hijrah
Dari segi bahasa hijrah bermaksud berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain

Dari segi istilah hijrah merupakan perpindahan Rasulullah S.A.W dengan orang - orang Islam dari Mekah ke Madinah. 

Dalam erti makna lain hijrah juga merujuk kepada perubahan diri daripada keadaan kurang baik kepada keadaan yang lebih baik. Misalnya menukarkan amarah kepada sabar, malas kepada rajin, benci kepada cinta, sombong kepada rendah diri, riyak kepada tawadhu', dan segala bentuk mazmumah dalam kehidupan kepada mahmudah. Itulah yang dikatakan hijrah, berubah dari negatif ke arah positif. Bukanlah bermakna kita hipokrit tetapi perubahan sedikit demi sedikit itu adalah lebih baik dari kita masih berada di takuk keadaan lama yang dihimpit kesedihan, kegelisahan, kemalasan dan keburukan.

Hijrah Rasulullah S.A.W ke Madinah

Selepas rentetan hijrah ke Habsyah Rasulullah S.A.W meneruskan hijrah ke Madinah setelah mendapat perintah daripada Allah Taala. Hijrah memberikan iktibar, pengajaran, kelebihan, kekuatan kepada umat Islam sendiri tanpa kita sedari. Bila membaca sirah Nabawiyyah, rentetan kisah penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W dan sahabat baginda, jika kita hayati dengan sepenuh jiwa kita, sesungguhnya akan mengalir air mata kita. Terasa Rasulullah S.A.W masih ada bersama kita, besar sungguh pengorbanan baginda S.A.W.

Rasulullah S.A.W berasa berat untuk meninggalkan Mekah. Dikatakan bila meninggalkan Kota Mekah baginda S.A.W berpaling untuk kali terakhir dengan penuh perasaan kerinduan dan penuh kasih sayang apabila melihat kota kelahiran dan kota suci umat Islam ini. Kota itu penuh dengan kenangan. Di sana baginda S.A.W. dilahirkan. Anak - anak baginda S.A.W lahir di sana. Di sana juga isterinya wafat. Di sana juga bermulanya penyebaran syiar Islam. Baginda S.A.W bersabda, "Daripada semua tempat, kaulah tempat bererti bagiku dan tempat paling dekat dengan Allah. Kalaulah bukan kerana kaumku mengusirku, aku tak akan tinggalkan kau."

Namun semuanya ditinggalkan demi menjayakan Hijrah ke Madinah. Andai Rasulullah S.A.W sanggup berkorban, maka bagaimana pula dengan diri kita ? Tepuk dada tanya iman.

Peranan Belia Dalam Peristiwa Hijrah

Peristiwa hijrah juga menggambarkan peranan belia amat penting dalam proses penghijrahan Rasulullah S.A.W sendiri. Misalnya, Asma' Binti Abu Bakar yang merupakan kakak kepada Saidatina Asma' Binti Abu Bakar sanggup bertugas sebagai penghantar makanan kepada Rasulullah S.A.W  dan Saidina Abu Bakar as-Siddiq r.a. Daripada perisitiwa tersebut, Asma' digelar "Zat an-Nitoqain" ( Perempuan yang mempunyai dua tali pinggang ).

Amir Bin Fuhairah pula akan membekalkan susu kepada baginda Rasulullah S.A.W dan Abu Bakar melalui teknik pengembalaan kambing. Tiap kali selesai mengembala Amir Bin Fuhairah akan meninggalkan susu kambing yang diperah. Selain itu, tugas Amir Bin Fuhairah juga menghilangkan jejak Rasulullah S.A.W dan Saidina Abu Bakar as-Siddiq a.s daripada dikesan oleh golongan Kafir Quraisy. Abdullah Bin Uraqait pula sebagai penunjuk jalan yang telah diupah oleh Saidina Abu Bakar as-Siddiq a.s.

Maka, siapakah kita sebagai belia masa kini ? Apa peranan kita ?


Hijrah Detik Bersejarah 

Dari kejauhan, rindu penduduk Madinah menggamit di sanubari penduduk Madinah. Tidak sabar mereka menantikan kedatangan kekasih Allah. Sehinggalah kedatangan Rasulullah S.A..W dan Saidina Abu Bakar  as-Siddiq a.s disambut dengan nyanyian beramai-ramai oleh penduduk Madinah. 

Bulan purnama telah terbit kepada kami,
dari jalan-jalan bukit ul-Wada.
Wajib ke atas kami untuk bersyukur,
terhadap seruan penyeru kepada Allah.
Wahai utusan yang diutuskan kepada kami,
Kami datang bersama perkara yang dipatuhi.

Itulah hijrah. Hijrah peristiwa bersejarah. Kerana hijrah, syiar Islam tersebar, kerana hijrah umat Islam bersatu, kerana hijrah negara Islam pertama, Madinah al-Munawwarah ( Bandar Yang Bercahaya ) dibentuk. kerana hijrah kedudukan Islam bertambah kukuh. Itulah HIJRAH. Kekuatannya membangkitkan semangat ummah. 

Kesimpulan
Peristiwa Hijrah memberikan inspirasi, semangat, iktibar, pengajaran, kelebihan dan kekuatan kepada kita. Moga tahun Hijrah 1434 H ini mendatangkan lebih banyak kebaikan dan kejayaan dari tahun - tahun sebelumnya. Moga kita menjadi hamba-Nya yang sentiasa mensyukuri segala nikmat kurniaan-Nya. Bersyukur dengan kehadiran tahun Hijrah ini. Andai kita beraniMarilah kita bersama - sama mengorak langkah ke arah pembentukan TRANSFORMASI HIJRAH DIRI demi menuntut sebuah kehidupan yang lebih baik daripada sebelumnya.