Wednesday, February 13, 2013

Demi Matahari


                                                                 
Demi matahari dan sinarnya di pagi 
Demi bulan apabila ia mengiringi
Demi siang hari 
Bila menampakkan dirinya
Demi malam apabila ia menutupi 
Demi langit beserta seluruh binaannya
Demi bumi serta yang ada dihamparannya
Demi jiwa dan seluruh penyempurnaannya
Allah Subhan Allah
Allah mengilhamkan sukma kefasikan dan ketaqwaan
Beruntung bagi yang mensucikannya
Merugi bagi yang mengotorinya

Teringat lagu ni yang dipopularkan dari tafsiran Surah As-Syams yang kebiasaan kita baca dalam Solat Dhuha. Pertama kali saya mendengar lagu ini, sungguh saya terus jatuh cinta dengan irama dan lirik lagu tersebut bahkan ia merupakan inti pati dari Surah As-Syams yang terkandung di dalam Al-Quran.

Demi Matahari dan Penyucian Jiwa ( Tazkiyyatun Nafs )

Demi Matahari ini bukanlah sekadar lagu semata-mata bahkan jika kita mendalami liriknya, kita memahami apa yang ditafsirkan di dalam Surah As-Syams ini. Betapa Allah Taala amat menekankan proses penyucian jiwa atau Tazkiyyatun Nafs ini. Penyucian Jiwa melalui demi matahari ini tergambar pada liriknya yang terzahir pada ayat 7 - 10 Surah as-Syams.

Demi jiwa dan seluruh penyempurnaannya
Allah Subhan Allah
Allah mengilhamkan sukma kefasikan dan ketaqwaan
Beruntung bagi yang mensucikannya
Merugi bagi yang mengotorinya

Maka jalan yang akan kita lalui untuk proses ini tidak lain tidak bukan melalui jalan tasawwuf. Tasawwuf sahaja mempunyai lebih daripada 2000 definisi. Namun saya ringkaskan di sini kepada beberapa makna yang mudah difahami. Dari segi bahasa, tasawwuf berasal dari perkataan Safa yang bermaksud bersih dan suci. Tasawwuf juga berasal dari perkataan Arab iaitu al-Suf yang bermaksud wool atau bulu kambing biri-biri kerana kebanyakan pengamal tasawwuf memakai pakaian daripada bulu. Dari segi istilah antaranya bermaksud penyucian jiwa dengan mengikuti Al-Quran dan As-Sunnah.Tasawwuf juga akhlak dan hakikat mengamalkan syariat Islam  serta menumpukan perhatian sepenuhnya kepada perjalanan menuju Allah Taala. 

التصوف علم تعرف به أحوال تزكية النفوس وتصفية الأخلاق وتعمير الظاهر والباطن لنيل السعادة الأبدية

Qadhi Syaikhul Islam Zakaria al-Anshari rahimullah berkata, "Tasawwuf ialah suatu ilmu yang diketahui dengannya keadaan penyucian jiwa dan pembersihan akhlak serta mengimarahkan zahir dan batin yang bertujuan untuk mencapai kebahagiaan yang abadi."

Menurut Said Hawa, roh manusia sangat taat kepada Allah Taala sebelum bercantum dengan jasad. Setelah bercantum dengan jasad maka timbullah pelbagai keperluan terutamanya keperluan kebendaan yang seterusnya mencemarkan kesucian roh tersebut. Oleh yang demikian, setiap individu Muslim wajib memiliki berus dawai untuk menyental jiwa mereka agar dapat kembali kepada keadaan asalnya. Berus dawai inilah yang disediakan dalam Islam.

Kesimpulan

Demi matahari direalisasikan menjadi sebuah lirik lagu yang indah bahkan keindahan itu datangnya dari ayat Al-Quran Maha Pencipta dan Pentadbir sekalian alam ini. Moga penghayatan Surah as-Syams ini mampu mendidik jiwa kita untuk kita lebih bermuhasabah diri dalam jalan tasawwuf. Mana mungkin tasawwuf dapat dipisahkan dari roh Islam bahkan ia membentuk ikatan unggul Iman, Islam dan Ihsan. Moga hari ini lebih baik dari semalam dan hari esok masih ada untuk kita perbaiki hari ini menjadi seribu kali lebih baik dari sebelumnya.     

Saya hadiahkan anda dengan Doa Dhuha 


Diriwayatkan daripada Abu Zar r.a, bahawa Rasululullah S.A.W bersabda, 

Maksudnya : "Setiap pagi hari setiap tulang kamu dibebani untuk bersedekah. Setiap bacaan tasbih adalah sedekah. Setiap tahmid adalah sedekah. Setiap tahlil adalah sedekah. Setiap takbir adalah sedekah. Amar makruf adalah sedekah. Nahi mungkar adalah sedekah. Dan cukup sebagai ganti daripada itu semua adalah mengerjakan solat sunat dua rakaat Dhuha."
( Hadith Riwayat Muslim, 720 )


Rujukan
1. Kitab Riyadhus Shalihin, Imam Nawawi, ringkasan Syaikh Yusuf Al-Nabhani
2. Pengenalan Ilmu Tasawwuf Untuk Remaja Islam, Muhamad Yusuf Khalid ( Pensyarah Universiti Sains
    Islam Malaysia, Fakulti Kepimpinan Dan Pengurusan )
3. Haqaia Tasawwuf, Sheikh Abdul Qadir Isa Rahimullah.
4. Haqaiq Tasawwuf, Sheikh Abdul Qadir Isa Rahimullah terjemahan oleh Mustafa Hussain
    At-Taib, ( Hakikat Tasawwuf ) di bawah bimbingan Syeikh Yusuf Muhyiddin al-Hasani Hafidzahullah.












Saturday, February 9, 2013

Dengupan Jantung DemiMu & KekasihMu

 

Jantung saya
Jantung anda
Jantung kita 

Moga ia akan sentiasa berdegup kekal dengan nama Nya
Allah Azza Wa Jalla
Serta 
PesuruhNya Muhammad S.A.W
Sehingga ke akhir hayat kita
Salam Maulidur Rasul 1434 H
24 Januari 2013
Allahumma Solli ala Saidina Muhammad