Sunday, September 29, 2013

Usim Jayakan Khidmat Masyarakat Di Kemboja

Berita Harian 24 Julai 2013 - m/s 26
Alhamdulillah

Itu perkataan pertama yang terzahir dalam hati saya ketika kapal terbang mula meninggalkan bumi Phnom Penh. Berakhir sudah program Kembara Bakti Siswa saya bersama rakan sekelas selama 5 hari 4 malam di Kemboja. Begitu cepat masa berlalu. Selama setahun kami merancang dan melaksanakan gerak kerja untuk memastikan program ini menjadi realiti, akhirnya Allah Taala izinkan juga kami sampai di sini. Terima kasih ya Allah. Syukur Alhamdulillah. 

Banyak pengalaman yang saya perolehi di sini. Bumi Kemboja meninggalkan seribu satu kenangan buat kami. Ini antara program kedua saya di luar negara selepas Singapura pada tahun 2009. Alhamdulillah, itu rezeki datangnya dari Allah Taala memberikan saya peluang untuk melihat negara orang. Ingin saya kongsikan di sini sekadar untuk saya simpan kenangan ini dan moga pengalaman ini juga berguna untuk membantu rakan-rakan yang akan meneruskan misi GISO kami. 

Hari Pertama - Isnin, 1 Julai 2013

Hujan renyai-renyai menyambut ketibaan kami di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh. Alhamdulillah segala urusan kami di lapangan terbang dipermudahkan. Pihak Alif Consultant bersama dengan beberapa wakil pihak kementerian Kemboja menjemput kami di sana untuk terus bergerak ke rumah Mufti Negara Kemboja, Ustaz Tuan Haji Kamaruddin Bin Yusuf. Pensyarah pengiring kami, Prof Madya Dr Mohd Rushdan Bin Mohd Jailani bersama dengan pelajar siswa untuk sesi bersama Ustaz Tuan Haji Kamaruddin. Pelajar siswi pula terus ke asrama perempuan. Sempat berkenalan dan beramah mesra dengan pelajar madrasah di sana. Sayangnya, tempat tinggal mereka serba daif jika dibandingkan dengan kita di Malaysia. Rumah yang hanya selayaknya memuatkan sebuah keluarga tetapi didiami lebih kurang 53 orang. Malamnya kami menaiki bot menyelelusuri sungai Mekong sekitar satu jam. Sempat juga melihat sekitar bandar Phnom Penh walaupun tidak menyeluruh.

Hari Kedua - Selasa, 2 Julai 2013

Sekitar jam 6.30 pagi kami sudah mula bergerak ke kampung sebaik sahaja selesai bersarapan dan check out dari hotel. Subuh pula sekitar 4.30 pagi maka mentari terbit awal menunjukkan diri. Alhamdulillah, jauh perjalanan luas pemandangan. Perjalanan selama 4 jam memberikan suatu pengalaman yang baru di mana kami sendiri dapat melihat Kemboja dalam erti kata sebenar corak dan suasana kehidupan masyarakat Kemboja. Setibanya di Kampong Ponthi Inn, kami disambut oleh Mufti Kemboja dan penduduk kampung sendiri. Dibawa melawat ke sekitar Madrasah An-Ni'mah serta kami turut menjamu selera makan tengah hari bersama penduduk kampung. Saya dan rakan - rakan pelajar turut dibahagikan kepada keluarga angkat masing - masing. Justeru, kami sempat melawat ke rumah keluarga angkat masing - masing serta beramah mesra dengan mereka. Usai Zohor, kami mengadakan kelas fardhu ain untuk kanak-kanak. Alhamdulillah, kelas berjalan dengan lancar biarpun pada mulanya berlaku permasalahan bahasa. Akhirnya, kami memerlukan beberapa orang belia Kemboja yang mampu berbahasa Melayu untuk menjadi penterjemah. Alhamdulillah, Allah permudahkan urusan kami. Pengalaman mengajar anak-anak masyarakat Kemboja. Walaupun mereka tidak mengenali kami, namun semangat mereka untuk terus bersama kami mencetuskan kekaguman di hati kami. Kadang-kala sukar untuk membetulkan sebutan mereka terutama bacaan solat mereka namun mereka gagahkan juga mengikut pergerakan dan sebutan kami untuk amali solat. Seterusnya, selepas Asar kami mengadakan sukaneka untuk kanak-kanak. Sambutan yang sungguh menggalakkan. Betapa mereka teruja mengikuti acara sukaneka. Sebelah malamnya pula, kami hidangkan dengan tayangan video. Alhamdulillah, ramai yang hadir.

Hari Ketiga - Rabu, 3 Julai 2013

To be continued ..... 


Saturday, September 14, 2013

Seperti Semalam


Ayuh kembali ke sekolah Ayuh !
Itulah lagu yang kerap kali saya dengar zaman kanak-kanak dahulu menerusi iklan pakaian, beg dan kasut sekolah yang terpapar di skrin televisyen untuk menarik perhatian kanak-kanak seperti saya ketika itu. Sekarang ? Usia saya sudah hampir mencecah 24 tahun. Saya bukan ke sekolah lagi tapi bakal meninggalkan gedung ilmu yang saya duduki sekarang. 

Cepatnya masa berlalu. Pejam celik pejam celik seperti baru semalam ibu menghantar saya ke sekolah tadika. Seperti baru semalam saya bergaduh dengan kawan-kawan sewaktu di sekolah rendah. Seperti semalam saya menjawat jawatan pengawas sewaktu di sekolah menengah. Seperti baru semalam majlis konvokesyen sewaktu zaman diploma dahulu. Semuanya adalah seperti semalam ... 

Kini, 
Semua itu hanya dalam ingatan saya sahaja. Namun, itulah antara perkara terindah dalam hidup saya. Seperti semalam .. tanpa melalui semalam saya sudah tentu tidak akan berjumpa hari ini. 

Hari ini, 
Saya memulakan semester baru sebagai pelajar tahun akhir universiti. Semakin melangkah ke semester baru semakin sukar madah yang dipelajari di universiti. Namun, saya bersyukur kerana berada dalam kedudukan sekarang. Sekurang-kurangnya saya mempelajari apa yang saya sukai. 

Baru beberapa hari di bumi Nilai setelah saya terbang dari Bumi Kenyalang. Moga saya tetap bersemangat untuk meneruskan kembara ilmu di bumi Nilai ini. 

Datang dengan harapan pulang dengan kejayaan. Ayah & Ibu doakan kakak. Seperti semalam akhirnya saya menemui hari ini. 


Monday, September 2, 2013

Aku Darah Anak Malaysia


Selamat Hari Kemerdekaan 56 Tahun
Malaysia Berdaulat 
Tanah Tumpahnya Darahku
Aku Darah Anak Malaysia


Hadiah Merdeka


Alhamdulillah
Result imtihan baru sahaja diumumkan Jumaat lepas
30 Ogos 2013
Sesuai dengan sambutan kemerdekaan pada sebelah malam nya
31 Ogos 2013
Syukur
Aku panjatkan ke hadratMu Ya Allah
Atas apa yang Engkau kurniakan kepada hambaMu ini
Moga Engkau berkati ilmu yang aku perolehi selama ini
Kepada ibu & ayah
Terima kasih atas doa & sokongan mereka
Inilah sahaja hadiah yang mampu kakak berikan
Kepada para pensyarah
Terima kasih atas segala ilmu, dorongan dan nasihat yang dicurahkan selama ini
Kepada sahabat seperjuagan
Terima kasih atas kerjasama kalian dalam kembara ilmu ini
Segalanya
Alhamdulillah
Jadikan aku hambaMu yang sentiasa mensyukuri segala nikmat kurniaanMu Ya Allah
Kerana
Kesenangan juga adalah ujian 
Maka
Jadikanlah aku termasuk dalam golongan yang bersyukur