Tuesday, January 27, 2015

Salahkah Aku ?

Kadang-kala saya ungkapkan dalam hati, "Salahkah aku ?" 

Pernah, 

Apa yang kita lakukan, apa sahaja ucapan kita disalah tafsirkan insan di sekeliling kita. Saya pasti itu berlaku kepada semua orang. Tidak ketinggalan juga diri saya. Hanya kerana sebuah silap faham akhirnya semua berantakan. Bak kata pepatah melayu, retak menanti belah. Menunggu masa gugur ke bumi agaknya.

Salahkah aku ? Saya ungkapkan lagi perkataan ini dalam hati. 

Peristiwa ini berlaku tahun lepas. Bukan untuk saya membuka kembali lembaran sejarah lalu Namun entah mengapa ringan sahaja untuk saya coretkan malam ini. Agaknya boleh saya umpamakan inilah kenangan pahit dalam hidup saya di tahun akhir pengajian di universiti.

Pertama, nilai sebuah persahabatan itu bagaimana ? 
Kenalan, kawan atau sahabat ?
Boleh jadi mereka adalah kawan atau lebih layak saya katakan sekadar kenalan di universiti. Mustahil mereka adalah sahabat kerana bagi saya pengertian sahabat itu teramat besar maknanya walaupun 4 tahun di universiti mereka adalah teman rapat saya. Kerana nilai sebuah prasangka dan kemarahan lebih besar bercambah dalam diri mereka daripada nilai sebuah persahabatan. Alangkah sedihnya. 

Kejutan kedua, saya kehilangan si dia. Seorang kakak yang saya sanjungi dan sayangi sewaktu di zaman universiti. Kakak satu pengajian dengan saya di universiti. Tapi itu mustahil. Saya kehilangan dirinya. Setiap kali saya rasakan sesuatu kekurangan atau permasalahan biasanya saya akan mencari si kakak. 

Itu dahulu, 
Si kakak yang sering menghadiahkan pandangan dan pendapat bernas di hadapan saya. 

Itu dahulu, 
Si kakak yang menhadirkan dirinya di kala saya memerlukan. 

Itu dahulu, 
Si kakak yang suka berkongsi rasa dengan saya. 

Semua itu tinggal kenangan. Tidakkah dia tahu bahawa saya sangat menyayangi dirinya ? 

Wahai kakak, sehingga kini saya masih rindukan kakak. 
Namun, adalah mustahil untuk kita bergelak ketawa bersama. 
Dek kerana prasangka, amarah dan tanpa usul periksa kakak menghukum saya. 
Hilang penghormatan dan sanjungan saya terhadap kakak serta merta dek kerana tindakan kakak. 
Kerana bagi saya kakak adalah contoh
Namun dalam perkara ini terserlah sikap tidak matang dan berat sebelah dalam diri kakak
Agaknya saya tersilap
Terlalu menyayangi dan mempercayai kakak 
Sedangkan kakak tidak mempamerkan sikap sebegitu
Adakah selama ini kasih sayang kakak kepura-puraan terhadap si adik 
Kerana tanpa usul periksa kakak mengaibkan saya secara umum. Betapa hati saya terluka. Saya berusaha memaafkan kakak dan mereka seikhlas hati saya. Biarpun payah. Tetap saya usahakan. 

Namun, 
Biarpun lukanya sembuh, parut itu tetap ada di sini. Di hati saya. Cukuplah kata-kata sinis tersebut kakak hamburkan secara umum. Apa silap saya terhadap kakak sehinggakan begitu keras dan tajam ucapan kakak? Sedangkan kakak hanya pihak ketiga yang mendengar cerita sebelah pihak sahaja. Di saat itu, saya keseorangan.. Mereka ramai. Namun saya tidak pernah berasa takut cuma hati saya terlalu rapuh untuk mudah berasa sedih dan kecewa. Kerap kali saya menghamburkan air mata duka. 

Teruskan membela siapa yang kakak rasakan perlu dalam hidup kakak. Kakak datang menghamburkan duka di hati saya kemudian pergi berlalu begitu sahaja tanpa berkata apa-apa. Saya tidak pernah mengharapkan permohonan maaf dari kakak. Cukuplah atas apa yang kakak dan mereka lakukan sebenarnya menjadikan kakak dan mereka sebagai orang asing dalam hidup saya. Kerana di saat saya menulis ini, saya relakan diri untuk pergi terus dari hidup kakak dan mereka yang pernah menyakiti saya. Moga Allah ampunkan saya. Moga Allah ampunkan kakak dan mereka. 

Lebih baik tersilap ampun dari tersilap hukum. Salahkah aku ? 






0 comments:

Post a Comment