Monday, February 10, 2014

Kerinduan

Alhamdulillah ..

Sudah hampir dua minggu saya berada di kampung halaman .. menghirup udara di Tanah Borneo .. namun dalam diam saya rindukan suasana keberadaan saya di Tanah Melayu .. cepat sungguh masa berlalu. Sudah hampir empat tahun berlalu, hanya berbaki satu semester berpraktikum sahaja lagi saya bakal menamatkan pengajian saya di USIM. InsyaAllah. Jumaat ini saya akan terbang semula ke Tanah Melayu memandangkan praktikum saya di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Putrajaya akan bermula pada hari Isnin minggu hadapan iaitu 17 Februari. 

Namun, yang pasti jiwa saya begitu merindui taman ilmu yang amat saya cintai, USIM. Sangat merindukan kehadiran teman serumah, rakan-rakan sekuliah, teman seuniversiti dan sudah semestinya tidak dilupakan para pensyarah, walaupun belum lama saya berpisah dengan mereka. Sah ! Saya rindukan mereka yang berada di tanah seberang. Saya merasakan betapa bertuah saya menjadi pelajar Pengajian Akidah dan Agama. Bertuahnya menjadi pelajar USIM.

Di kelilingi pensyarah dan ulama serta buku-buku merupakan suatu nikmat selama mana saya berada di USIM. Kegemaran saya, berada di gedung buku dan sudah pasti perpustakaan USIM. Walaupun bahan bacaan mungkin tidak seperti yang terdapat di perpustakaan UKM, UM atau UIA tetapi perpustakaan USIM mempunyai 'aroma' tersendiri yang saya sukai.

Ada hikmahnya saya tak dapat berpraktikum di Tanah Borneo sungguhpun itu antara yang saya impikan suatu ketika dahulu. Akhirnya saya membuat keputusan untuk berpraktikum di Tanah Melayu setelah puas saya sendiri memikirkan kebaikan untuk terus berada di Tanah Melayu. Sebab utama, sudah tentu saya masih dekat dengan USIM. Masih boleh berjumpa dengan para pensyarah dan teman seUSIM yang cukup saya sayangi. Sudah tentu saya masih boleh ke perpustakaan USIM biarpun tidak lagi sekerap dahulu. Akan saya manfaatkan hujung minggu kelak dengan ke perpustakaan. Itulah perancangan saya. Asalkan, saya dapat mengecapi peluang untuk menghabiskan sisa hidup saya yang berbaki sebagai pelajar tahun akhir di USIM.

Sehinggalah ayahanda Prof menghubungi saya tempoh hari. Rupanya, ada lagi tugasan terakhir saya yang masih belum selesai. Beliau menghendaki saya membentangkan laporan sewaktu ke Kemboja tahun lepas. Agaknya, inilah hikmah khidmat saya masih lagi diperlukan di Tanah Melayu. InsyaAllah, akan saya usahakan sebaik-baiknya Dr. Terima kasih atas kepercayaan yang diberikan kepada saya. Ya Allah, moga Engkau permudahkan pekerjaan hambaMu ini kelak. Lancarkanlah kalamku.

Dan aku ..
Sentiasa merindukan mereka di sana
USIM sentiasa di hati

Reactions:

0 comments:

Post a Comment