Saturday, January 17, 2015

Sijil Kematian

16 November 2014 bersamaan 23 Muharam 1436 H

Majlis Konvokesyen Ke-12 Universiti Sains Islam Malaysia



Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya mengenggam segulung ijazah. Rezeki dikurniakan Allah. Biarpun tidak pernah saya impikan, saya dikurniakan Hadiah Buku Fakulti sempena Majlis Konvokesyen Ke - 12 Usim. Syukur Alhamdulillah kepada Allah Taala atas nikmat ini. Di sini ingin saya dedikasikan terima kasih dan penghargaan saya kepada kedua ibu ayah, para pensyarah, guru-guru dan rakan sekalian atas segala doa, dorongan, nasihat dan ingatan mereka selama mereka berada di samping saya. 

Bukanlah kegembiraan saya mengenggam segulung ijazah ingin saya nukilkan di sini. Sekadar saya kongsikan rasa kesyukuran kepada Allah kerana memberikan nikmat yang begitu banyak. Sekadar penghargaan buat insan-insan tersayang yang sentiasa di sisi saya. Sebenarnya lebih kepada hakikat apa yang saya rasakan. 

4 tahun di universiti. Tempoh yang agak lama di institusi aqli dan naqli tersebut. Memberikan banyak ibrah dan pengalaman kepada diri saya. Sehingggakan apabila telah tamat pengajian, sering kali saya berfikir mampukah atau sudah bersediakah aku dengan realiti dunia di luar sana ?

Segulung ijazah ... bagi saya umpama membawa bebanan yang berat bukanlah untuk bergembira memikirkan bahawa kita sudah punyai pendidikan tinggi. Silap. Dan ternyata itu adalah silap. Bukanlah keilmuan itu diukur berdasarkan sehelai sijil. Sijil hanya sekadar bukti pengiktirafan pendidikan seseorang. 

Sentiasa dalam ingatan saya peringatan daripada al-Allamah Abul A'la Maududi ketika beliau berbicara kepada para mahasiswa. Nun di sana, al-Maududi melihat universiti sebagai rumah penyembelihan yang mencetak sijil kematian. 

"Wahai mahasiswa ! Kamu melabur sekian lama masa kamu di universiti untuk mendapatkan pendidikan. Kamu menunggu lama saat di mana kamu menuai hasil usaha kamu itu dalam bentuk segulung ijazah. Aku merasai betapa tersentuhnya jiwa kamu dalam majlis konvokesyen sebegini, sukar untuk aku berterus-terang kepada kamu pada saat ini. Walau bagaimanapun aku perlu berlaku jujur. Dalam menilai tempat kamu dididik ini, malah semua tempat pendidikan yang bernama universiti ini, ia tidak ubah seperti tempat penyembelihan berbanding tempat pendidikan. Sekeping ijazah yang dihulurkan tidak ubah seperti sijil kematian. Ia diberikan apabila si pembunuh berpuas hati kerana berjaya menyempurnakan penyembelihannya. Alangkah bertuahnya mereka yang berjaya melarikan diri daripada penyembelihan terancang ini dengan sedikit cahaya kehidupan. Aku tidak hadir ke sini bagi mengucapkan tahniah kepada kamu kerana menerima sijil kematian itu malah sebaliknya. Aku berasa sedih melihat kamu semua dalam keadaan yang teruk. Aku seperti orang yang sedang mencari manusia yang masih hidup dalam timbunan mayat di sini." 

Sheik Yusuf al-Qaradhawi menegaskan, "Kita inginkan pemuda-pemudi Islam yang bekerja untuk Islam CEMERLANG dalam pelajarannya. Hendaklah dia menjadi contoh yang berbeza kepada pelajar-pelajar cemerlang yang lain sehingga manusia mengenal bahawa Islam bukanlah penghalang kepada pengajian. Pengajian adalah wajib dan kecemerlangan adalah perlu bagi Da'ie Ilallah."  

Bahkan Ibn Mas'ud menegaskan lagi, "Seandainya ahli ilmu menjaga ilmunya dan meletakkan pada ahlinya, nescaya dengannya mereka menjadi mulia dan mengetuai orang-orang pada zamannya. Tetapi jika mereka mengorbankan ilmu mereka untuk dunia bagi mendapatkan dunia, maka jadilah mereka hina dan rendah di sisi orang-orang pada zamannya." 

Kepada teman seperjuangan, walau di mana kita bertebaran di muka bumi Allah ini saya doakan moga kita sentiasa berusaha menjadi manusia yang memberi manfaat kepada manusia lain. Bittaufiq wannajah. Amin Ya Rabb.




Reactions:

0 comments:

Post a Comment