Monday, July 16, 2012

Padaku Ada KeAZAMan Yang Dahsyat


Padaku Ada KeAZAMan yang dahsyat .. Siapakah yang mengungkapkan kata-kata tersebut ?

Tidak lain tidak bukan .. itulah Sultan Muhammad Al-Fateh atau Sultan Muhammad II.

Siapakah Sultan Muhammad Al-Fateh ?

Al-Fateh ialah putera kepada Sultan Murad II, Baginda dilahirkan di Edirne atau Adrianapolis yang merupakan ibu kota kerajaan Uthmaniyyah pada 29 Mac 1432 bersamaan 26 Rejab 835 Hijriah. Al-Fateh wafat pada 4 Rabiul Awwal 86 H dan tampuk pemerintahan baginda digantikan oleh puteranya Sultan Yazid II.

Pendidikan Al-Fateh

Ayah baginda Sultan Murad II sangat menitikberatkan pendidikan Al-Fateh lebih-lebih lagi apabila Al-Fateh bersikap nakal di usia mudanya. Oleh itu, ayah baginda bertegas dalam mendidik Al-Fateh melalui asuhan para ulama dan ilmuwan untuk membentuk jati diri Al-Fateh. Dua orang mentor Al-Fateh iaitu Ibnu Ismail Al-Qurani dan Syeikh Syamsuddin Al-Wali yang dikatakan keturunan Saidina Abu Bakar as-Siddiq merupakan antara tokoh terpenting memainkan peranan dalam pembentukan keilmuan dan peribadi Al-Fateh sendiri.

Al-Fateh merupakan antara cendekiawan ulung kerana baginda berkebolehan bertutur dan menguasai tujuh bahasa dengan baik iaitu bahasa Arab, Latin, Greek, Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew. Tambahan pula, baginda mempunyai kepakaran dalam bidang sains, sejarah, geografi, matematik dan ketenteraan. Baginda juga diajar kemahiran memanah dan menunggang kuda sejak kecil lagi. Walaupun baru berusia 12 tahun, baginda telah memangku jawatan khalifah sewaktu ayahnya Sultan Murad II memencilkan diri di Pulau Magnesia. Ini bertujuan untuk melatih dan membentuk sifat kepimpinan dalam diri Al-Fateh.

Keperibadian Al-Fateh

Al-Fateh sangat mementingkan kekuatan dalaman dan luaran para tenteranya. Baginda sentiasa bersifat tawadhuk dan merendah diri. Biarpun seorang sultan, baginda tetap turun padang untuk bekerja bersama-sama dengan tenteranya. Misalnya, semasa membina Benteng Rumeli Hissari, baginda segera membuka baju dan serbannya, mengangkat batu-batu besar dan pasir sehinggakan para ulama dan para menteri ikut sama bekerja. Baginda sangat mencintai ilmu dan ulama dan kerap kali berbincang dengan mereka tentang segala permasalahan terutama masalah negara. Al-Fateh seorang yang tenang, berkeyakinan tinggi, berani, sabar, tegas dan kuat menyimpan rahsia pemerintahan. Malah sifat-sifat baginda dan tenteranya telah diisyaratkan oleh Rasulullah S.A.W sendiri dalam hadith.

Rasulullah S.A.W bersabda,

لتفتحن القسطنطينية فلنعم الأمير أميرها ولنعم الجيش ذلك الجيش

"Konstantinople akan dimiliki tentera Islam, rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera"
( Hadith Riwayat Imam Ahmad )

Umat Islam berlumba - lumba membebaskan Constantinople untuk mendapatkan penghormatan yang telah dijanjikan oleh Allah Taala menerusi hadith yang disabdakan oleh baginda Rasulullah S.A.W. Namun, semua kempen tersebut iaitu bermula dari zaman Muawiyah Bin Abi Sufyan sehinggalah Sultan Murad II sendiri, kesemuanya menemui kegagalan. Di antaranya, 5 kempen semasa zaman kerajaan Umaiyah, 1 kempen sewaktu pemerintahan kerajaan Abbasiyyah dan 2 kempen di bawah kerajaan Uthmaniyyah.

Akhirnya, hadith Nabi S.A.W ini direalisasikan oleh Sultan Muhammad Al-Fateh, khalifah ke-7 kerajaan Uthmaniyyah bersama-sama dengan tentera baginda. 1453, Tahun yang mencipta sejarah. Al-Fateh telah menakluki Constantinople atau Istanbul (sekarang). Selanjutnya, Constantinople menjadi ibu kota dinasti Turki Uthmani. Kemudian, Al-Fateh menukarkan nama Constantinople kepada Islambul (Islam Keseluruhan ) dan akhirnya Istanbul oleh Mustafa Kamal Atarturk.

Apakah kehebatan Al-Fateh dan tentera-tenteranya sehingga disebut sebaik-baik raja dan sebaik-baik tentera di dalam hadith Rasulullah S.A.W tersebut ?

Padaku Ada KeAZAMan Yang Dahsyat

Menteri Al-Fateh sendiri, Khalil Pasya tidak yakin dengan kemampuan Al-Fateh untuk mendapatkan Constantinople. Namun, itu tidak melunturkan walau sedikit pun semangat yang ada dalam diri Al-Fateh. Semangat Al-Fateh jelas terzahir melalui ucapan baginda walaupu baru berusia 19 tahun, "Aku bukan seperti datuk-datukku terdahulu. Aku adalah Sultan Muhammad. Padaku Ada Keazaman Yang Dahsyat mengatasi keazaman datuk-datukku terdahulu" 

KeAZAMan Al-Fateh mengatasi segala kekurangan memberikan kekuatan dan semangat dalam dirinya biarpun pelbagai halangan terpaksa ditempuh. Dan ini diakui oleh ahli sejarah Byzantine sendiri, "Tidak pernah kami lihat atau dengar hal seajaib ini, Muhammad Al-Fateh telah menukarkan darat menjadi lautan dan melayarkan kapalnya di puncak gunung bukannya di ombak lautan. Muhammad Al-Fateh dengan usahanya mengatasi Maharaja Dunia Alexander The Great!"

Karisma Seorang Pemimpin

Pengepungan selama 53 hari tanpa sebarang tanda-tanda kejayaan telah menimbulkan rasa bosan dan menghilangkan keyakinan dalam kalangan tentera Al-Fateh. Namun, sifat karisma yang ada pada seorang pemimpin terserlah dalam diri Al-Fateh. Pada saat yang genting tersebut, baginda berucap menaikkan semangat jihad tenteranya. "Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah. Sesiapa yang mahu syahid, maka ikutlah aku!"

Apabila mendengarkan ucapan Al-Fateh, tiba-tiba Hasan Ulubate berteriak dengan nada suara yang penuh bersemangat dan nyaring,"Sesiapa yang mahu bertemu dengan Abu Ayub al-Ansari dan mereka yang telah syahid mari berjuang bersama-sama saya." Mendengarkan teriakan itu, membuatkan tentera Al-Fateh menjadi begitu bersemangat dan bersama-sama dengan Hasan Ulubate merempuh pintu masuk istana. Kedatangan mereka dihalang oleh beribu-ribu tentera Rom namun Hasan berjaya meloloskan diri sehingga ke atas menara Constantinople lalu segera memacakkan bendera Turki di atasnya sambil berteriak,"Saya telah berjaya menjejakkan kaki ke Kota Constantinople dan selepas ini giliran kamu pula!" Serentak, puluhan anak panah menembusi badan Hasan Ulubate. "Constantinople pasti berjaya kita tawan pada hari ini!" Teriak Hasan Ulubate sebelum meninggal dunia. Keberanian Hasan Ulubate telah menyemarakkan semangat tentera Al-Fateh.


Kota Constantinople Berjaya Ditawan

Allah Taala berfirman menerusi Surah Al-Fath Ayat 1 - 3,  

"Sesungguhnya kami memberikan kepadamu kemenangan yang nyata, supaya Allah memberi keampunan kepadamu terhadap dosamu yang lalu dan akan datang serta menyempurnakan nikmat-Nya atasmu dan memimpin kamu kepada jalan yang lurus dan supaya Allah menolongmu dengan pertolongan yang kuat (banyak).

Akhirnya, setelah 800 tahun penantian ..
Tanggal 29 Mei 1453 bersamaan 20 Jamadil Awwal 857 Hijriah menyaksikan kemenangan umat Islam apabila Al-Fateh telah berjaya membebaskan Kota Constantinople daripada cengkaman Empayar Rom Byzantine. Sesuai dengan pembukaan Constantinople, maka baginda dikurniakan gelaran Al-Fateh kerana kejayaan baginda menakluk dan seterusnya membebaskan Constantinople daripada cengkaman kerajaan Rom Byzantine.

Al-Fateh berdiri di hadapan pihak tawanan sambil berkata, "Hari ini adalah hari kemenangan kepada kami, umat Nabi Muhammad S.A.W. Kamu sudah menjadi hina dengan kekalahan ini. Sesungguhnya apabila datang yang hak maka lenyaplah yang batil. Apabila datang kebenaran, lenyaplah kemungkaran. Apabila datang keadilan, lenyaplah kezaliman. Sesungguhnya kami datang kepada kamu membawa yang hak. Kami membawa cahaya kebenaran dan kami menegakkan keadilan. Percayalah, tiada siapa yang akan dianiayai pada hari yang mulia ini."


Gereja Kepada Masjid

"Gereja Aya Sophia. Kami mahu menjadikannya sebagai masjid, " kata Al-Fateh sambil memandang reaksi pihak tawanan Constantinople. Seperti yang dijangka, para tawanan perang seperti histeria apabila mendengar Aya Sophia mahu dijadikan masjid. Namun, kebijaksanaan Al-Fateh mengatasi keadaan tersebut dengan penuh berhemah dan diplomasi. Baginda memaafkan kesemua tawanan perang dan mereka bebas untuk balik ke rumah masing-masing serta berpesan agar mereka kekal berkelakuan baik, tidak menganiaya penduduk Istabul. Bahkan mereka juga bebas menganut dan mengamalkan agama masing-masing serta dibenarkan untuk bebas beribadat di gereja-gereja mereka. Akhirnya, pihak tawanan mengalah dan bersetuju dengan tindakan Al-Fateh.

"Mari kita bersihkan gereja Aya Sophia kerana ia bakal dijadikan masjid," Al-Fateh bertitah lagi. Kemudian, mereka bergotong -royong membersihkan gereja Aya Sophia. Semua patung dan lambang salib di dalam gereja diturunkan. Menjelang tengah hari, Aya Sophia bertukar dari sebuah gereja kepada sebuah masjid. Ramai yang memuji tindakan Al-Fateh yang telah mengubah gereja tersebut kepada sebuah masjid. Namun, di manakah kiblat nya ?

Kiblat Masjid Aya Sophia

"Tuanku, ramai yang hendak solat sunat di masjid ini, tetapi kami tidak tahu di manakah arah kiblatnya," ujar Menteri Khalil Pasya. Al-Fateh tercari- cari di manakah arah kiblat masjid tersebut. Segera baginda bertanya kepada mentornya, Syeikh Shamsuddin al-Wali. "Mohonlah petunjuk dari Allah." ujar mentornya.

Al-Fateh segera berwudhu' dan menempatkan dirinya di tengah masjid. Baginda bertakbir dan pada takbir pertama tersebut baginda ternampak arah kiblat melalui mata hatinya. Terus baginda mengangkat takbir kali kedua dan arah kiblat itu mulai semakin jelas. Akhirnya, baginda bertakbir kali ketiga dan arah kiblat benar-benar diperlihatkan secara jelas kepada dirinya. Kemudian, Al-Fateh terus menunaikan solat dengan menghadap ke arah kiblat yang sebenar. Maka orang ramai mengikut jejak langkah baginda menghadap ke arah kiblat yang sama.


Sebaik - Baik Raja Dan Sebaik - Baik Tentera

Sewaktu solat Jumaat pertama hendak didirikan, akhirnya terzahir pertanyaan siapakah yang paling layak menjadi imam. Al-Fateh mencadangkan mentornya, Syeikh Syamsuddin al-Wali namun beliau menolak dengan alasan beliau sudah tua. Kemudian, Syeikh Syamsuddin al-Wali berkata,"Carilah orang yang paling bertaqwa dalam kalangan kamu untuk dijadikan imam."

Segera, Al-Fateh keluar ke kawasan lapang dan mengarahkan semua tenteranya supaya berdiri. "Siapakah antara kalian yang pernah meninggalkan solat fardhu lima waktu, sila duduk!" Tiada seorang pun yang duduk menandakan semua tentera Al-Fateh tidak pernah meninggalkan solat fardhu lima waktu.

Kemudian, Al-Fateh berkata, "Siapakah antara kalian yang pernah meninggalkan solat sunat rawatib, sila duduk!" Separuh daripada tentera Al-Fateh duduk. Kemudian, Al-Fateh berseru lagi, "Siapakah antara kalian yang pernah meninggalkan solat sunat tahajjud, sila duduk!" Kesemua tentera Al-Fateh yang berdiri segera duduk kecuali seorang sahaja yang kekal berdiri.

Maka, yang berdiri tersebut adalah Sultan Muhammad Al-Fateh sendiri. Semenjak dari akil baligh, baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu lima waktu, solat sunat rawatib dan solat tahajjud. Kemudian, Syeikh Syamsuddin al-Wali berkata, "Tuanku paling layak menjadi imam."

Kesimpulan

Sungguh pun dalam usia yang begitu muda, Sultan Muhammad Al-Fateh telah berjaya menakluk kota Constantinople sekaligus merealisasikan hadith Rasulullah S.A.W. Sebagai seorang sultan, baginda melengkapkan diri dan para tenteranya dengan kekuatan luaran dan dalaman sebelum menempuh peperangan. Itulah dikatakan kekuatan ilmu pengetahuan dan akal. Tidak lupa, kekuatan dalaman rohani juga turut dititikberatkan. Melalui kehidupan Al-Fateh, kita dapat melihat bagaimana peranan mentor iaitu guru baginda Syeikh Syamsuddin al-Wali dan Ibnu Ismail Al-Qurani turut memainkan peranan penting dalam pembentukan peribadi dan keilmuan Al-Fateh. Betapa Al-Fateh cintakan ilmu dan ulama. Jika remaja sekarang sibuk berfoya-foya, berpeleseran tanpa arah tuju sedangkan Al-Fateh setiap malam bermatlamatkan Constantinople. Itulah semangat yang tersemat dalam diri Al-Fateh, "Padaku Ada KeAZAMan Yang Dahsyat".






0 comments:

Post a Comment