Monday, July 16, 2012

Islam Liberal


Apakah itu Islam liberal ? Apakah itu liberalisma

Liberalisma bermaksud 'kebebasan berfikir dan bertindak melalui individu tanpa had', dan ia merupakan fahaman yang muncul di Eropah pada asalnya dan bukan dari dunia Islam. Istilah 'Islam Liberal' pertama sekali digunakan oleh penulis Barat seperti 'Leonard Binder' yang menggunakan istilah 'Islamic Liberalism' dan juga 'Charles Kurzman' yang menggunakan istilah 'Liberal Islam'. Secara tersiratnya, kedua-duanya mempercayai bahawa Islam itu banyak dan Islam Liberal adalah salah satu daripadanya. 

Islam sebenarnya adalah satu dan tidak banyak. Secara amnya, Islam itu terdapat aliran 'mazhab' atau kelompok yang berbeza aliran pemikirannya dalam Islam. Jadi istilah 'Islam Liberal' yang dimaksudkan di sini adalah 'Pemikiran Islam Liberal' yang merupakan satu aliran berfikir baru dalam kalangan umat Islam yang tidak termasuk dalam mazhab Islam. 

Jadi, "Pemikiran Islam Liberal" adalah 'suatu pemikiran yang bertujuan untuk membebaskan, merungkai, merombak (deconstruc) dan meliberalkan' umat Islam dari Islam yang satu dan kukuh itu. 

Akar - Akar Pemikiran Islam Liberal

Pemikiran Islam Liberal berpunca daripada pengaruh pandangan hidup Barat dan peradabannya yang 'hegemonic' dan mendominasi seluruh kehidupan pada masa kini. Ia merupakan percampuran antara pemikiran modernism yang cuba memberikan tafsiran Islam yang sesuai dengan 'modernity' dan 'post-modernism' yang cuba melakukan 'deconstruction' terhadap segala pemikiran yang sudah kukuh. 

Takrif Islam yang kukuh misalnya, perlu dirombak dan diliberalkan sehingga orang bukan Islam pun dikatakan bukan Muslim dan agama selain agama Islam pun dapat ditafsirkan sebagai agama Islam juga. Begitu juga dengan Mushaf Al-Quran resam Uthmani yang telah disepakati oleh Sunni mahupun Syiah juga adalah perlu kepada 'deconstruction' yang kononnya adalah untuk mendapatkan wahyu Tuhan yang asal sebelum khalifah Uthman merasmikan mushafnya untuk seluruh kaum Muslimin. 

Pemikiran Islam Liberal juga memanfaatkan dan mendapatkan modal murah dari 'radikalisme' yang terjadi pada sebahagian kaum Muslimin. Dengan ini, ianya sejalan dengan fahaman Barat tentang Islam pada hari ini bahawa ajaran - ajaran Islam itu sebati dengan 'terrorisme' dan penghalang kepada kemajuan dan peradaban sekular mereka. 

Para pemikir Islam Liberal telah dipergunakan oleh pihak Barat bagi merungkai dan merombak 'simpulan-simpulan Islam' yang kukuh dari tubuh umat Islam sendiri yang akhirnya menjadi benteng kepada globalisasi peradaban sekular. Jadi, dalam usaha meruntuhkan ajaran Islam yang kukuh dan teguh itu, pemikiran Islam Liberal tidak segan silu mengambil kajian-kajian orientalis, metodologi kajian agama lain, ajaran "human right" dalam konteks "humanisme Barat", falsafah sekularisme dan lain-lain pandangan yang bercanggah dengan Islam sebagai sumber mereka. 

Bagi menyempurnakan penyamaran mereka terhadap kaum Muslimin awam dan supaya dikatakan pemikiran itu sebahagian dari Islam, pemikiran Islam Liberal juga menggunakan bahan-bahan dari "turath" dan persuratan Islam dengan mengambil bahan-bahan yang kontroversial. Bahan-bahan tersebut adalah "construction" ulama yang perlu kepada "deconstruction" supaya pemikiran umat Islam bertambah maju seiring dengan kemajuan sekularisme Barat. 

Misalnya, seperti nasib-nasib agama-agama di Barat, Islam Liberal hendak menjadikan agama seperti agama Kristian atau fahaman Yahudi di Barat tunduk dengan kehidupan duniawi, dengan cara membebaskan umat Islam yang tulen menerusi tafsiran atau perubahan ajaran Islam itu sendiri sehingga sesuai dengan agenda dan selera Barat. 

Namun begitu, terdapat  juga pihak yang mendakwa liberalisme adalah juga pemodenan dalam Islam dan warisan mazhab silam. Ini adalah tidak bertepatan sama sekali. Buktinya, pemodenan pemikiran Islam yang digerakkan oleh Muhd Abduh, Rashid Rida, Muhammad Iqbal dan lain-lainnya bukan mahu mempersoalkan keautoritian atau kedudukan Al-Quran, Rasulullah S.A.W, Rukun Islam dan Rukun Iman. Mereka hanya inginkan aplikasi Islam dalam tuntutan kehidupan di dunia supaya umat Islam bertambah maju tapi bertolak dari gagasan Islam yang sebenar. 

Demikian juga mazhab Islam terdahulu seperti Jabariah, Qadariah, Khawarij dan sebagainya. Mereka juga mentafsir ayat-ayat Al-Quran dan hadith tetapi tidak mengkritik kedudukan Al-Quran atau kerasulan Nabi Muhammad S.A.W, hukum-hakam dan sebagainya. 

Kesimpulan

Kumpulan Liberalisma ini sangat radikal. Mereka mahu menolak Al-Quran, Syariah, penyamaan Akidah Islam dengan lain-lain agama, menentang keutamaan lelaki ke atas wanita, menolak ketentuan faraid dalam Al-Quran dan lain-lain lagi. Gerakan kumpulan ini wajib dihapuskan. Oleh itu, hendaklah kita juga mengetahui agenda-agenda pemikiran Islam Liberal ini agar kita dapat menolak tafsiran agama yang kian terpesong dalam kalangan masyarakat dan seterusnya memperkukuh dan mempertahankan Akidah kita. Tepuk dada tanya Iman. Moga kita terus berjalan di atas jalan kebenaran menuju ke arah Mardhatillah. Amin. InsyaAllah. 














0 comments:

Post a Comment